KM: Pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

19 Jun 2025
KOTA KINABALU: Pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah berikutan potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah sumbangan hasil negeri daripada sektor ini pada tahun lalu mencecah RM7 juta yang datang dari 18 daerah aktif.
“Bagi memastikan ia terus berkembang, kerajaan negeri sedang memperkenalkan lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti di daerah luar bandar bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya semasa pelancaran ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) di Magellan Sutera Resort, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Hajiji berkata, Sabah merupakan tempat kepada ramai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, yang digerakkan oleh individu serta keluarga dari kampung-kampung tempatan, terutamanya komuniti luar bandar, yang mencipta pengalaman unik yang benar-benar menggambarkan keistimewaan berciri Sabah.
“Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan dapat memperkasa komuniti, dan kita berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, pelancongan kekal sebagai pemacu ekonomi Sabah, mewujudkan lebih daripada 380,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.
Beliau berkata industri pelancongan Sabah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu dan mencatat pencapaian signifikan pada tahun 2023 apabila menyumbang sebanyak RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri.
“Namun, statistik semata-mata tidak menceritakan keseluruhan cerita. Di sebalik setiap angka, terletak kehidupan, keluarga, dan individu yang menyumbang kepada ekonomi pelancongan.
“Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan dapat memperkasa komuniti, dan kita berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,”
Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited terhadap pembangunan industri pelancongan dan sedang melabur dalam infrastruktur melalui kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang sedang berjalan, penambahbaikan jalan raya yang menghubungkan kawasan pelancongan luar bandar serta platform digital yang dipertingkatkan untuk mempromosi dan mengurus pengalaman pelawat secara efektif.
“Kita sedang membina asas kepada ekonomi pelancongan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan. Strategi Sabah termasuklah penerapan prinsip ekonomi hijau, pendigitalan, serta memperkukuh profil kita sebagai lokasi dan tuan rumah utama bagi acara pelancongan antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah membayangkan dirinya sebagai sebuah hab keamanan sebuah negeri di mana perniagaan berkembang maju, budaya, sejarah dan alam semula jadi wujud secara harmoni, dan pembangunan sentiasa seimbang dengan tanggungjawab dan kelestarian.
“Kita berhasrat menjadi model bagaimana pelancongan boleh berjaya sambil memelihara elemen-elemen yang menjadikannya unik alam sekitar, budaya dan komuniti kita,” katanya.
Menyentuh ATEX 2025, beliau berkata, ia merupakan pencapaian penting bagi Sabah kerana ia memberikan peluang kepada negeri ini bukan sahaja sebagai destinasi, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pelancongan ASEAN.
“Kita mengalu-alukan para pemimpin industri dari seluruh rantau ke negeri ini, mengajak semua untuk mengeratkan persahabatan, mencetuskan peluang perniagaan baru dan berkongsi dalam perjalanan yang masa depan," katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata ATEX 2025 menjadi peringatan tentang betapa kuatnya kombinasi pelancongan, perjalanan, hospitaliti dan penerbangan.
“Ia mencipta enjin pertumbuhan dan pergerakan yang kukuh, membuka pelbagai peluang untuk perkongsian pengalaman.
“Penganjuran ATEX 2025 di Kota Kinabalu bukan sahaja satu penghormatan bagi kita di Sabah, malah ia adalah satu platform yang penuh dengan potensi. Ia memberi kita peluang untuk saling belajar, membina jaringan baharu, dan bersama-sama membentuk masa depan pelancongan di rantau ini,” katanya.
Comments