Komuniti Dumpas Berdepan Bahasa Terancam
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

31 Disember 2025
TELUPID: Di sebalik pesatnya kemajuan teknologi dan arus peredaran masa, masyarakat kaum Dumpas iaitu sebuah etnik minoriti di pedalaman Sabah terus gigih mempertahankan bahasa, adat resam dan identiti agar tidak lenyap ditelan zaman.
Etnik Dumpas yang boleh ditemui di tujuh perkampungan sekitar daerah Telupid, mempunyai populasi dianggarkan mencecah sekitar 5,000 orang.
Walaupun mungkin kecil dari segi jumlah, namun komuniti ini tekad memperjuangkan pengiktirafan identiti tersendiri, khususnya menerusi bahasa turun temurun mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Dumpas Sabah, Bidin Angau berkata, komuniti Dumpas sering dilihat sebagai sub-etnik Dusun, sedangkan mereka sebenarnya memiliki keunikan yang tersendiri.
“Etnik kami selama ini sangat kecil dan tidak dikenali, walaupun di Sabah sendiri. Ia perlu keluar daripada pengelasan sub-etnik penting bagi memperluas pengenalan Dumpas.
“Apabila kami keluar daripada sub-etnik Dusun, keupayaan dan keberangkalian etnik kami untuk dikenali oleh masyarakat di Sabah dan juga di Semenanjung akan menjadi lebih besar,” katanya.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menerusi mewujudkan kamus bahasa Dumpas dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang bermula secara rasmi pada tahun 2021.
Katanya, sejak itu, komuniti Dumpas berjaya mengumpul dan menyusun lebih 5,000 entri perkataan dan kamus itu kini berada pada peringkat pengesahan serta penyuntingan sebelum diterbitkan sebagai rujukan rasmi.
Bidin menegaskan, usaha memartabatkan bahasa Dumpas tidak akan terhenti di situ kerana identiti Dumpas turut dizahirkan melalui seni dan warisan.
“Apabila kamus ini siap, kami akan berusaha supaya etnik kami sekurang-kurangnya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik-etnik lain di negeri Sabah, walaupun kami dikira etnik minoriti.
“Pakaian tradisional Dumpas menampilkan sulaman manual dengan manik dijahit satu persatu dan setiap busana boleh mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan Persatuan Dumpas Sabah, Nasrah Titing berkata, pendedahan identiti Dumpas melalui pakaian dan tarian telah dilakukan sejak sebelum penubuhan persatuan berkenaan.
“Kami membawa etnik Dumpas ke luar, sama ada ke peringkat daerah atau negeri untuk memperagakan pakaian dan tarian kami,” katanya.
Seorang lagi berketurunan etnik Dumpas yang juga Wakil Ketua Anak Negeri, Baung Titing berkata, apa yang ditekankan adalah keperluan mengukuhkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda.
“Di sekolah, anak-anak lebih cenderung bercakap bahasa Melayu. Kita tidak mahu bahasa etnik Dumpas ini hilang, sebab itu kita tanamkan semangat supaya mereka terus bertutur dalam bahasa ini.
“Selaku pewaris etnik Dumpas, saya berharap usaha memelihara bahasa, adat dan pakaian tradisional ini dapat memastikan identiti kami terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.














