Komuniti Terima Sumbangan Ewon untuk Program Kaamatan dan Perasmian Tamu Desa Kampung Tekulung
- nabalunews
- Jul 16, 2025
- 1 min read

16 Julai 2025
KOTA BELUD: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tekulung menerima sumbangan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, sebagai sokongan kepada penganjuran Program Penutupan Kaamatan dan Perasmian Bangunan Tamu Desa Kampung Tekulung.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, mewakili Ewon kepada Pengerusi JKKK Kampung Tekulung, Elycia Sikul.
Menurut Elycia, dana berkenaan akan digunakan bagi keperluan logistik dan pelaksanaan program yang dijadualkan berlangsung pada 17 Julai ini, dengan perasmiannya akan disempurnakan oleh Ewon , yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Bagi pihak komuniti Kampung Tekulung, kami amat berterima kasih kepada Ewon atas sumbangan ini serta komitmen beliau dalam memastikan pembangunan berterusan di kawasan kami,” ujar Elycia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan ADUN Kadamaian itu, khususnya atas usaha memperuntukkan projek pembinaan bangunan Tamu Desa Kampung Tekulung yang dijangka menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Bangunan baharu tersebut bukan sahaja akan menjadi lokasi bagi aktiviti jualan dan perniagaan komuniti, malah berfungsi sebagai pusat perhimpunan dan pengembangan ekonomi desa, sekali gus memperkukuh potensi keusahawanan dalam kalangan belia dan wanita luar bandar.
Sementara itu, Clarence menyatakan bahawa sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan ADUN Kadamaian untuk menyokong program pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi, selaras dengan dasar keterangkuman dan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.
“Penyampaian bantuan ini membuktikan bahawa Ewon sentiasa mengambil berat terhadap keperluan rakyat dan komited dalam membangunkan kawasan luar bandar secara holistik,” katanya.
Majlis yang bakal berlangsung pada 17 Julai ini dijangka disertai pelbagai lapisan masyarakat, sekaligus memperkukuh perpaduan komuniti dan memperkasa nilai-nilai budaya dalam suasana penuh muhibah sempena penutupan Kaamatan.


















Comments