top of page

KONGSI KECERIAAN HARI NATAL

Wartawan Nabalu News


26 DIS 2020


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan mengajak semua pihak untuk saling berkongsi dan memberi khususnya pada musim sambutan perayaan Hari Natal dan tahun baru yang bakal tiba beberapa hari lagi.


“Mari kita saling berkongsi kegembiraan dan rezeki, khususnya pada musim perayaan, kerana amalan berkongsi ini membawa nikmat yang besar dan bermakna.


“Saya yakin semua agama menuntut penganutnya untuk peka dengan keadaan sekeliling khasnya dalam saling bantu-membantu, tanpa mengira apa bangsa atau agama sekalipun, kerana nilai kemanusiaan itulah yang sangat tinggi yang perlu ada dalam diri setiap dari kita,” katanya.



Bagi tujuan itu, Fairuz menghulurkan sumbangan sempena sambutan Hari Natal kepada 33 buah gereja dalam DUN Pintasan, Khamis lalu.


Kawasan-kawasan tersebut meliputi Timbang, Mantanau, Ulu Kukut, Bubuk, Siudon, Bungaliu, Kukut/Timbang Menggaris, Sarang, Dudar Laut, Taburan Damang, Taburan Tambulawan, Mandawang dan Dudar Ulu.


Sumbangan itu disampaikan oleh wakil iaitu Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Pintasan, Sikar Datin dan Pemaju Mukim DUN Pintasan, Florenza Vivianne Joelin.


Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Sabah berkata, amalan berkongsi dan menghulurkan sumbangan kepada semua tanpa melihat perbezaan fahaman agama adalah sinonim dengan budaya masyarakat yang hidup dalam pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia dan khasnya di Sabah.



“Kita di Sabah pastinya perlu lebih prihatin dan berkongsi kerana kita hidup dalam komuniti masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, yang menyambut pelbagai jenis perayaan saban tahun.


“Semangat perpaduan dan penyatuan itulah yang wajar kita kekalkan dan terus pupuk khasnya dalam kalangan generasi muda demi memastikan kita terus hidup harmoni dalam negara berbilang bangsa,” ujar beliau.


Opmerkingen


bottom of page