top of page
  • nabalunews

Konsep Malaysia Madani perlu difahami secara holistik - Hajiji


10 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, ingin rakyat Sabah memahami sepenuhnya konsep Malaysia Madani.


Menurutnya, konsep tersebut harus dijelaskan secara komprehensif dan dikaji secara ilmiah oleh pakar-pakar pelbagai bidang, dengan menghubungkan kepelbagaian yang sinonim dengan negara kita khususnya di Sabah.


Konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan perlaksanaan strategi, yang merentas semua sektor demi kemajuan, kecemerlangan dan kesejahteraan tanahair tercinta.


Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalam Kepelbagaian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.


Forum itu dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).


Hajiji turut berasa bangga kerana Sabah menjadi negeri pertama yang menganjurkan seminar dan forum berkaitan Malaysia Madani untuk memperjelas gagasan besar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.


Beliau berharap pertubuhan Islam seperti USIA dapat terus membantu kerajaan dalam melaksanakan program yang bermanfaat bagi rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.


“Saya percaya akan ada lagi persatuan, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPT Swasta termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut dan mendalami konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan,” katanya.


Hajiji juga menyatakan kepercayaannya bahawa konsep Malaysia Madani dapat membantu menjaga keharmonian kaum, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.


“Syabas kepada USIA, teruskanlah kerja-kerja perbengkelan seumpama ini yang besar manfaatnya kepada seluruh ahli dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Comments


bottom of page