top of page
  • Wartawan Nabalu News

Koperasi berperanan bantu kurangkan kos harga barangan di luar bandar: Ewon




6 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KAPIT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi berperanan membantu kerajaan mengurangkan kos kenaikan harga barangan khususnya di kawasan luar bandar.


Beliau berkata ia boleh dilaksanakan melalui penglibatan koperasi dalam perniagaan pemborongan dan peruncitan.


“Koperasi memperoleh barangan dengan harga yang lebih rendah melalui pembelian secara kolektif dan ini membantu mengurangkan kos kepada pengguna dan dalam masa yang sama mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan dan barangan.



“Ini membantu mengurangkan kos tambahan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan kepada pengguna.


“Disinilah peranan koperasi dituntut untuk sama-sama membantu agenda kerajaan mengurangkan kos hidup rakyat,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis “Ngentak Tiang” Projek Stesen Minyak (Smart Stream) Koperasi Song Kapit Berhad, di KM5, Sg. Tada, Engkabau Jalan Kapit-Song, di sini, kelmarin.


Ewon berkata, Koperasi Song Kapit Berhad telah banyak mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak kementerian dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terutama dalam aktiviti berkaitan pemborongan dan peruncitan.



“Koperasi ini menerima geran bantuan sebanyak RM97,000 dibawah program Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (Prospek) pada 2022 untuk tujuan Menaiktaraf Gudang Koperasi Bagi Keperluan DC dan Penambahbaikan Laluan Jalan Ke Kawasan Gudang.


“Pada tahun sebelumnya, koperasi juga telah diluluskan geran sebanyak RM100,000 dibawah Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) bagi tujuan Menaiktaraf Sub-DC Sedia Ada dan Pembelian Lori.


“Dengan sokongan pihak KUSKOP dan SKM, diharap Koperasi Song Kapit Berhad dapat memanfaatkan segala bantuan demi kepentingan anggota koperasi dan semua penduduk di Kawasan Daerah Song,” katanya.


Sehubungan itu Ewon berharap, Koperasi Song Kapit Berhad dapat menjayakan program penyeragaman harga yang telah di war-warkan oleh kerajaan untuk membantu penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan sama dengan harga di bandar besar.


Mengenai Projek Stesen Minyak (Smart Stream) Koperasi Song Kapit Berhad, beliau berkata ia merupakan satu cabang aktiviti baharu koperasi berkenaan selain aktiviti borong runcit, kerja kontrak dan pengangkutan.


“Saya berharap Koperasi Song Kapit Berhad berjaya dalam aktiviti berimpak tinggi seperti aktiviti berasaskan petroleum,” katanya.


Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa Haji Mohd Yahya Haji Mat Sahri, ketua-ketua agensi Kuskop Sarawak dan pemimpin setempat.


Comments


bottom of page