top of page

Pendaftaran Majlis Reunion Kent 2026 dilanjutkan ke 29 September 2026

nabalunews
7 hours ago
1 min read

24 September 2026

KENINGAU: Tempoh pendaftaran dan kutipan yuran bagi Majlis Reunion Kent 2026 dilanjutkan sehingga 29 September ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran menyertai perhimpunan berkenaan.


Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Reunion Kent 2026, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata lanjutan itu dibuat khusus untuk memberi ruang kepada alumni dari luar daerah Keningau yang masih belum membuat pengesahan kehadiran.


Beliau berkata, majlis yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober depan di Bandukan Resort, Bingkor itu bukan sekadar program perhimpunan biasa, sebaliknya menjadi medan menyatukan semula warga alumni selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.


“Mungkin ada antara kita yang sudah puluhan tahun tidak bertemu, hanya mengenali nama di media sosial atau terputus hubungan. Reunion ini peluang terbaik untuk bersua muka, bertukar khabar dan mengimbau kenangan zaman perguruan yang penuh nilai sentimental,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Program perhimpunan berkenaan dikelolakan oleh Daerah Keningau selaku tuan rumah dengan kerjasama Daerah Tambunan, Tenom dan Nabawan.



Mengulas pemilihan lokasi di Bandukan Resort, Bingkor, Yazid berkata persekitaran semula jadi di Taman Bandukan menawarkan kelainan dan suasana rekreasi sesuai untuk percutian keluarga.


“Alumni yang datang dari jauh bukan sahaja dapat menghadiri majlis, malah berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi dan destinasi ekopelancongan di Bingkor bersama keluarga,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua alumni yang belum berbuat demikian agar segera mendaftar sebelum tarikh tutup pada 29 September ini bagi memudahkan urusan penganjuran.


“Jarak dan masa mungkin memisahkan kita, tetapi kenangan di Kent tetap menjadi pengikat. Keningau kini sedia menanti kepulangan sahabat-sahabat Kent,” katanya.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page