top of page

Kosmetik dan ubat seludup dirampas

  • nabalunews
  • May 10
  • 1 min read


ree

10 Mei 2025


SEMPORNA: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 183 kotak mengandungi pelbagai produk kosmetik dan ubat-ubatan tanpa kelulusan yang dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan.


Semua barangan bernilai RM518,580 itu dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Hatib, di sini, menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi dan Op Taring Dosej, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.


Operasi itu turut dibantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Semporna.


Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan operasi mengekori sebuah kenderaan ke lokasi berkenaan yang disyaki dijadikan stor penyimpanan barangan kecantikan dan ubat-ubatan.


"Ketika serbuan itu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 183 kotak mengandungi pelbagai jenis produk kecantikan dam ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM dan tanpa cukai yang sah.


"Rampasan turut membabitkan kenderaan yang digunakan oleh suspek. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM518,580," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan suspek mengaku berperanan sebagai penjaga stor dan terbabit dalam aktiviti pembekalan serta penjualan barangan itu sejak Ogos 2024.


"Barangan berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan untuk dijual di pasaran Sabah.


"Tangkapan serta rampasan diserahkan sepenuhnya kepada pihak JKDM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan 18A, Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page