KPDN Aktifkan Jawatankuasa Khas Banteras Penyeludupan Diesel Susulan Konflik Asia Barat
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
16 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia telah mengaktifkan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dengan serta-merta susulan peningkatan risiko penyeludupan barang kawalan akibat konflik Asia Barat yang melonjakkan harga minyak global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, mengumumkan bahawa jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Fadillah Yusof ini akan memberi fokus utama kepada negeri Sabah dan Sarawak berikutan jurang harga diesel yang amat besar berbanding Semenanjung Malaysia. Keputusan mengaktifkan jawatankuasa ini dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac 2026, mengambil kira lonjakan harga minyak Brent dunia di paras antara US$90 hingga melebihi US$100 setong minggu sebelumnya, berbanding US$60 hingga US$70 setong sebelum konflik bermula.
Bagi Sabah dan Sarawak, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, manakala harga pasaran Automatic Pricing Mechanism (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter. Ini berbanding harga pam diesel di Semenanjung Malaysia iaitu RM3.92 seliter. Perbezaan ketara ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar, sekali gus mewujudkan ruang besar untuk aktiviti ketirisan dan penyeludupan ke luar negara.
Implikasi tanggungan subsidi Kerajaan akan menjadi semakin jauh membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras. Pada tahun 2025 sahaja, subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak mencecah RM2 bilion iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak. Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi Kerajaan ini diunjurkan mencecah RM4.6 bilion bagi tahun 2026 sekiranya langkah pembanterasan tidak diambil.
Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). Di bawah Akta 122, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.
Bagi syarikat, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00. Manakala di bawah Akta 613, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.
Kerajaan akan memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi penguatkuasaan berkaitan, dengan tumpuan kepada kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak. KPDN akan bertindak selaku urus setia jawatankuasa ini dalam melaksanakan langkah intervensi segera bagi membendung ketirisan dan penyeludupan barang kawalan negara.















Comments