KPDN anjur PJRM Kembali ke Sekolah 2026 mulai 20 Disember
- nabalunews
- Dec 14, 2025
- 1 min read

14 Disember 2025
TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 bermula 20 Disember ini hingga 11 Januari 2026, bersempena musim cuti persekolahan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sejumlah 269 siri penganjuran disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati rakyat secara meluas.
Menurut beliau, sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah serta kedai pakaian terbabit PJRM Kembali ke Sekolah 2026 melalui pelaksanaan secara dalam dan luar premis.
"Pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.
"Terdapat 45 hingga 80 Unit Simpanan Stok (SKU) ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Armizan berkata, Kerajaan MADANI memperuntukkan RM300 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan inisiatif Payung RAHMAH, termasuk penganjuran PJRM di seluruh negara.
Justeru, katanya, KPDN akan terus memperkasakan pelaksanaan PJRM termasuk melakukan penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah serta golongan sasar.
Untuk maklumat tarikh dan lokasi PJRM Kembali ke Sekolah yang akan dianjurkan, orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.


















Comments