top of page

KPDN komited jayakan program ‘Kita Gempur’

  • nabalunews
  • Oct 29, 2024
  • 2 min read

28 Oktober 2024


TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertekad melaksanakan program Membanteras Manipulasi dan Ketirisan, dikenali sebagai "Kita Gempur," melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak berkepentingan.


Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, program ini adalah susulan pelancaran inisiatif Kita Gempur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 19 Oktober lalu yang bertujuan membanteras ketirisan dan manipulasi yang menjejaskan ekonomi rakyat, khususnya dalam aspek kos sara hidup.


Armizan menegaskan bahawa rakan-rakan strategik KPDN di seluruh daerah turut menyatakan komitmen tinggi mereka dengan menandatangani surat akujanji sebagai tanda sokongan dan kesediaan untuk terlibat secara langsung dalam program Kita Gempur ini.


Melalui langkah ini, KPDN yakin dapat mewujudkan sistem pemantauan yang lebih cekap dan efektif untuk melindungi hak pengguna dan menstabilkan harga barangan keperluan asas.


“Mereka terdiri daripada ‘transporter’ di bawah Program Pengedaran Barang Perlu, Syarikat Pembungkus Minyak Masak di bawah Program Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS), pemborong dan peruncit utama, serta pengusaha stesen minyak.


“Pada hari ini, seramai 99 wakil rakan strategik KPDN di sekitar daerah Tawau telah memberikan dan menyatakan komitmen mereka.


“Mereka termasuklah 30 transporter, 29 pengusaha stesen minyak, tujuh syarikat pembungkus minyak masak, 12 wakil pengguna setempat dan 21 pemborong dan peruncit utama di daerah Tawau,” katanya, lapor Info X.


Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program Kita Gempur @ Tawau bersama Rakan Strategik Kepenggunaan, di sini hari ini.


Jelasnya, program itu adalah inisiatif kerajaan melalui KPDN yang melibatkan semua pihak sama ada agensi kerajaan, pemain industri dan orang ramai.


Katanya, ia adalah usaha bagi membanteras penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi serta mengatasi manipulasi dalam aktiviti perniagaan seperti penipuan dalam talian dan pakatan kartel.


“KPDN akan memperluaskan gerakan ini dengan mendapatkan komitmen daripada semua pemegang Lesen Bagi Barang Kawalan Berjadual (CSA) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


“Ini termasuklah semua syarikat-syarikat transporter yang dilantik sebagai pelaksana Program Pengedaran Barang Perlu,”katanya.


Armizan berkata, penglibatan syarikat transporter adalah penting bagi memastikan pergerakan bekalan barang kawalan dan bersubsidi daripada point of source (POS) pemborong/syarikat ke point of sale (POS).


“Inisiatif ini dapat mengurangkan ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi seterusnya memastikan dana awam yang disalurkan melalui subsidi kerajaan akan sampai kepada golongan sasaran.


“Syarikat-syarikat transporter ini bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan mengangkut tujuh barangan kawalan dan barangan kawalan bersubsidi, iaitu beras, gula, tepung gandum, minyak masak, Liquified Petroleum Gas (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.


Katanya, KPDN juga meminta semua pihak termasuk orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara itu dapat dibanteras.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page