top of page

KPDN laksana SHMMP sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025

  • nabalunews
  • May 23
  • 3 min read

Armizan (tiga dari kiri) melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025. Turut kelihatan Peto (dua dari kanan) dan Roland (kanan)
Armizan (tiga dari kiri) melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025. Turut kelihatan Peto (dua dari kanan) dan Roland (kanan)

23 Mei 2025


INANAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SHMMP Pesta Kaamatan akan dilaksanakan pada 27 Mei 2025 sehingga 2 Jun 2025 manakala SHMMP Hari Gawai akan dilaksanakan pada 29 Mei 2025 sehingga 4 Jun 2025.


Katanya, tempoh pelaksanaan skim tersebut ialah selama tujuh hari iaitu pada hari kemuncak dan tiga hari sebelum dan selepas kemuncak perayaan.


"Tempoh pelaksanaan skim ini adalah ditetapkan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga.


“Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman harga maksimum musim perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, di Dewan Pisompuruan, Kg Kobuni, Inanam, dekat sini hari ini.


Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap ADUN Inanam, Peto Galim dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Roland Chia.


Armizan berkata, di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025, KPDN telah mengenal pasti 10 jenis barangan berbanding 8 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun 2024.


"Pertambahan dua jenis barangan tersebut ialah bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.


Manakala untuk SHMMP Hari Gawai 2025, sebanyak 11 jenis barangan telah disenaraikan berbanding 8 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun 2024. Tiga (3) jenis barangan yang ditambah ialah kelapa biji, kelapa parut dan santan," katanya.


Katanya, penentuan jenis dan harga maksimum bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2025 ini dibuat melalui perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya dan mengambil kira pandangan pemain-pemain industri.


Barangan harga terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2025 yang terlibat ialah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), daging kerbau import (India) (tidak termasuk bahagian batang pinang), kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), bawang putih (China), bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.


Manakala barangan harga terkawal SHMMP Hari Gawai 2025 yang terlibat ialah babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (daging dan lemak), daging babi (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China) (tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan.


Armizan berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan membolehkan penentuan harga maksimum dibuat.


"Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk skim ini boleh disemak melalui laman web KPDN," katanya.


Katanya, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.


"Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika," katanya.


Sehubungan itu katanya, Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga.


Armizan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.


Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.


Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.


Armizan berkata, KPDN akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM dan juga pemain industri bagi memastikan bekalan barangan yang disenaraikan adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.


Selain itu, katanya melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian, tindakan intervensi akan dilaksanakan dalam mengurangkan isu-isu terkait harga dan bekalan sekali gus membantu menangani kos sara hidup rakyat.


Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan beberapa program khusus terkait dengan ikhtiar kos sara hidup di bawah inisiatif Payung Rahmah seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page