KPDN lancar Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH untuk pengusaha makanan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPDN lancar Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH untuk pengusaha makanan



2 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH bagi memberi insentif kepada pengusaha-pengusaha makanan yang menyediakan menu sihat dan berpatutan kepada rakyat.


Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini membolehkan pengusaha-pengusaha makanan yang berdaftar dengan Program Menu RAHMAH mendapat diskaun sehingga 40 peratus bagi barangan mentah dan barang asas makanan di enam buah pasar raya terpilih di seluruh negara.


Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan bin Mohd Ali, inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH yang ditawarkan dengan harga tidak melebihi RM 5.00 bagi setiap hidangan.


"Menu RAHMAH merupakan salah satu program utama di bawah Inisiatif Payung RAHMAH untuk menangani isu kos sara hidup dengan menyediakan menu makanan tengah hari atau malam yang sihat dan selamat dengan harga tidak melebihi RM 5.00 bagi setiap hidangan.


“Dengan kadar harga menu yang berpatutan ini, Program Menu RAHMAH yang mula dilaksanakan sejak 31 Januari 2023 ini disasarkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini di seluruh negara. “Sehingga kini, terdapat 2,849 premis berdaftar yang menawarkan Menu RAHMAH kepada rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.


Jelas Armizan, penawaran Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini merupakan program rintis bersama di antara Kementerian dan pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran.


Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu RAHMAH yang telah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan yang lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu RAHMAH.


Beliau berkata, permohonan bagi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH ini telah dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.


“Antara syarat-syarat permohonan adalah warganegara Malaysia, telah berdaftar sebagai pengusaha Menu RAHMAH di bawah KPDN, dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada enam buah pasar raya yang telah bersetuju untuk terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini iaitu pasar raya AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.


Bagi sebarang pertanyaan lanjut, para pengusaha Menu RAHMAH boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page