KPDN Lancar SHMMP Untuk 14 Jenis Bahan Makanan
- nabalunews
- Dec 20, 2025
- 1 min read

20 Disember 2025
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini, melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) melibatkan 14 jenis barangan keperluan asas.
Pelancaran sempena Sambutan Perayaan Krismas 2025 itu dilaksanakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 kali ini adalah bersesuaian pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
Katanya, ia juga mengambil kira pandangan daripada rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain-pemain industri.
“Antara bahan makanan terlibat adalah Daging kambing biri-biri bertulang import, Kubis bulat import, Lobak merah China, Tomato, Cili merah, Lada benggala hijau, Bawang merah besar, Bawang kuning besar, Ubi kentang import China, Kepak ayam, Ayam tua hidup, Babi hidup, Daging babi perut dan Daging babi serta lemak.
“Barang-barang terlibat dalam skim ini adalah berdasarkan pendapat dan keperluan permintaan yang tinggi daripada pengguna kita semasa musim perayaan termasuklah untuk Krismas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pengumuman Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 di Dewan Terbuka Perpustakaan Papar, Sabah, hari ini.
Armizan berkata, selain daripada SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di 875 lokasi di seluruh negara.
“Untuk PGRM Krismas untuk tahun 2025 ini kita laksanakan bermula 18 hingga 27 Disember yang melibatkan sejumlah 875 siri.
“Selain itu, KPDN turut menganjurkan PJRM Back to School untuk membolehkan rakyat mempunyai alternatif pada harga yang lebih murah menjelang musim buka sekolah,” katanya.















Comments