KPDN SABAH GEMPUR STESEN MINYAK
- nabalunews
- Apr 8
- 2 min read

8 April 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan kenderaan diubahsuai.
Ketika ditahan, pemeriksaan mendapati, kedua-dua kenderaan iaitu pacuan empat roda Isuzu Dmax diubahsuai dengan tangki tambahan manakala lori panel pula membawa tangki berlebihan.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kedua-dua kenderaan ditahan hasil pemeriksaan yang dijalankan pasukan operasi di stesen minyak di kawasan Inanam dan Luyang.

Katanya, pemeriksaan menghasilkan tiga kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menahan dua warga tempatan bagi tujuan siasatan lanjut.
“Pasukan operasi turut menyita dua kenderaan yang disyaki diubahsuai untuk melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Selain itu, pasukan operasi turut mengambil tindakan terhadap pemilik stesen kerana disyaki melakukan pelanggaran mengikut akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kenderaan dan minyak diesel bersubsidi yang disita dianggarkan bernilai RM45,752.50.
Sehubungan itu, Shahril Nizam berkata, KPDN Sabah akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan terutamanya barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
Katanya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta

“Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Sehubungan itu, Sharil Nizam berkata, masyarakat diminta supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat yang jelas dan lengkap berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ditalian 019-848 8000 atau e-mel ke e-aduan@.kpdn.gov.my.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi pusat panggilan KPDN ditalian 1-800-886-800 atau menerusi Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
Comments