- Wartawan Nabalu News
KPM akan keluarkan kenyataan rasmi mengenai SPM 2023 – Fadhlina

22 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berkaitan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 yang dikhabarkan akan bermula lebih awal pada 5 Disember tahun ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pihaknya belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu dan meminta semua pihak menunggu laporan penuh daripada kementerian.
"Kita (kementerian) memang belum keluarkan kenyataan lagi. Tunggu sahaja laporan penuh kita itu nanti," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di Shah Alam, pada Selasa.
Beliau memberi reaksi ini berhubung laporan media yang menyatakan bahawa peperiksaan SPM 2023 akan bermula pada 5 Disember dengan Ujian Amali Sains, diikuti Ujian Bertutur pada 8 Januari tahun depan dan peperiksaan bertulis pada 30 Januari hingga 7 Mac.
Laporan itu juga menyebut bahawa langkah mengawalkan SPM itu adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk mengembalikan sesi permulaan persekolahan kembali kepada asal iaitu pada Januari secara beransur-ansur.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dikatakan menyifatkan langkah tersebut sebagai langkah pertama untuk mengembalikan jadual persekolahan kembali seperti sediakala.
Beliau dikatakan berpendapat bahawa tarikh peperiksaan paling sesuai adalah seperti sebelum pandemik iaitu pada November dan Disember yang merupakan tempoh cuti yang panjang, sekali gus memudahkan KPM menggunakan waktu dan ruang yang ada untuk menjalankan peperiksaan.