KPM terus beri perhatian kepada 3,038 sekolah kurang murid
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KPM terus beri perhatian kepada 3,038 sekolah kurang murid


16 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TELUK INTAN: Sebanyak 3,038 sekolah di seluruh Malaysia yang diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) akan terus menerima perhatian dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan.


Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menegaskan bahawa tiada sekolah yang akan ditutup meskipun menghadapi cabaran bilangan pelajar yang kurang.


"Ini termasuk menyalurkan peruntukan bagi kemudahan diperlukan dan kerja menaik taraf supaya memberi imbangan sama rata kepada semua jenis sekolah," katanya ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Samak, Ulu Bernam di sini hari ini.


Beliau berkata di Perak sahaja terdapat 419 sekolah kurang murid dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tahun ini telah memberikan peruntukan sebanyak RM38,000 kepada semua sekolah kerajaan tanpa mengira bilangan muridnya.


Menurutnya Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah merangka beberapa strategi bagi menangani isu itu di bawah inisiatif Pelaksanaan Pelan Hala Tuju SKM.


Wong berkata antara strategi itu ialah pelaksanaan kelas bercantum dengan pengajaran dan pembelajaran pelbagai gred serta penggabungan SKM selain pemindahan atau penempatan semula SKM dan pengekalan SKM atas keperluan.


"Strategi pelaksanaan kelas bercantum dengan pengajaran dan pembelajaran pelbagai gred dilaksanakan dengan melibatkan percantuman kelas Tahun 2 dengan Tahun 3 dan Tahun 4 dengan Tahun 5 di sekolah berenrolmen 30 orang murid dan ke bawah," katanya.


Sementara itu, ditanya mengenai aktiviti luar bilik darjah pada musim panas, beliau berkata autonomi diberikan kepada pihak JPN dan sekolah bagi menentukan keputusan berdasarkan kepada garis panduan.


"Untuk menentukan aktiviti luar diteruskan bergantung kepada keadaan dan segala keputusan daripada JPN serta pihak sekolah haruslah mengikut garis panduan cuaca panas sedia ada," katanya.


bottom of page