Pelbagai pihak sokong cadangan Ewon guna “Momogun” dalam borang kerajaan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelbagai pihak sokong cadangan Ewon guna “Momogun” dalam borang kerajaan

28 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelbagai pihak menyokong dan mengalu-alukan cadangan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick supaya perkataan “lain-lain” merujuk kepada kaum dalam borang rasmi kerajaan diganti dengan “Momogun”.


Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominic berkata, ini kerana Momogun boleh mewakili semua kaum di Sabah.


“Momogun adalah berasal dari kata "Pogun" iaitu membawa maksud "tanah nenek moyang atau dunia." Momogun bermakna "pemilik tanah atau empunya tanah".


“Oleh itu, saya menyokong cadangan Presiden UPKO, setelah membaca maksud Mmogun itu sendiri, untuk mengantikan “Lain-Lain” dalam borang kerajaan.


“Seperti rumpun kaum Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku utama iaitu Hokkien, Hakka, Kantonis, Teochew, Hainan dan Fuzhou.


“Kaum Momogun juga perlu mencontohi rumpun Cina, indentiti asal mereka tidak hilang, saya masih Kadazan, tetapi tergolong dalam rumpun Momogun,” katanya.


Sehubungan itu Billy Joe berharap kerajaan bersikap terbuka mendengar pandangan dan cadangan semua pihak.


Sementara itu Ronnie Onginjan berkata, cadangan menggantikan perkataan “Lain-lain” dengan “Momogun” seharusnya disokong semua pihak kerana ia satu cadangan yang baik.


“Perkataan “Momogun” amat sesuai kerana ia mewakili semua kaum di Sabah termasuk Rungus, Dusun, Murut dan Tatana. Sebut sahaja “Momogun” orang akan mengetahui kita penduduk asal Sabah.


“Oleh itu saya amat bersetuju "Momogun" digunakan sebab ia menggambarkan kita orang asal Sabah.


“Ia juga akan menjadi kebanggan kami sebagai masyarakat Rungus sekiranya, perkataan Momogun digunakan untuk mengganti 'lain-lain'," katanya.


Persatuan Lotud Sabah Bersatu (Usla) turut menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian itu.


Presiden Ulsa Datuk Raymond Tombung berkata, ini kerana istilah “Lain-Lain” kelihatan agak merendahkan kaum orang asal Sabah.


“Ia seolah-olah menunjukkan orang asal Sabah tidak banyak kepentingan sebagai pengasas bersama Persekutuan Malaysia,” katanya yang juga Penasihat Star Sabah.


Raymond berkata, penentangan terhadap "lain - lain" daripada pimpinan politik dan badan bukan kerajaan di Sabah telah banyak kali disuarakan sejak bertahun-tahun lamanya namun tiada penyelesaian konkrit kerana tidak terfikir nama pengganti yang sesuai bagi “Lain-Lain”.


“Agak mengejut istilah ini (Momogun) tidak dicadangkan lebih awal kerana ia digunakan dalam nama Parti Pasok Momogun Kebangsaan Bersatu, 62 tahun yang lalu.


“Istilah 'Momogun' amat sesuai kerana ia benar-benar merangkumi semua orang asal Sabah yang dibahagikan kepada lebih 40 kumpulan dialek dan sub dialek di Sabah. Nama ini juga akan memberikan penghormatan kepada orang asal dengan nama yang kuat sebagai identiti nasional kolektif mereka,” katanya.


Raymond berkata, istilah "Momogun" juga akan menyelesaikan kontroversi mengenai istilah "KDM" atau "KDMR" yang menurutnya dianggap sebagai nama yang tidak sesuai kerana ia mewakil "Kadazandusun dan Murut" atau "Kadazandusun, Murut dan Rungus" dan tidak memasukkan orang asal lain seperti Lundayeh, Kedayan, Paitanic Tidung dan lain-lain.


Sementara itu Presiden Kongres Nasional Momogun (MNC) Tan Sri Wences Angang juga turut mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick agar etnik orang asal Sabah diklasifikasikan sebagai ‘Momogun’ dan bukannya ‘Lain-lain’ dalam borang rasmi kerajaan.


Beliau berkata, memberikan komuniti pribumi Sabah kepada kategori ‘lain-lain’ seakan-akan tidak mengiktiraf kedudukan dan keistimewaan anak negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.


Bagaimanapun katanya, istilah Momogun hanya untuk tujuan mengenal pasti gabungan yang tergolong dalam kumpulan etnik Dusun, Murut dan Paitan. Momogun tidak akan mengganti nama mana-mana etnik berkenaan.


“Penggunaan “lain-lain” seolah-olah tidak menghormati penyertaan kita dalam pembinaan negara atau tidak menghormati hak anak negeri Sabah," katanya.


Sehubungan itu Wences berharap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat mengadakan perbincangan untuk menambah baik borang rasmi kerajaan.


Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) Datuk Henrynus Amin juga mengalu-alukan cadangan Datuk Ewon.

bottom of page