top of page

Kursus Asas Membuat Rantai Manik Dalai Bolulau Dihadiri 54 Peserta di Kampung Sayap

  • nabalunews
  • Oct 4
  • 1 min read

ree

4 Oktober 2025


KOTA BELUD: Seramai 54 peserta telah menghadiri Kursus Asas Membuat Rantai daripada Manik Dalai Bolulau (MDB) yang berlangsung di Amido Lodge, Kampung Sayap, Kota Belud pada 3 Oktober. Program ini dianjurkan oleh Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Kampung Sayap dengan kerjasama Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud.


Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Beliau menyatakan bahawa kursus tersebut memberi nilai tambah kepada peserta kerana mampu membuka peluang ekonomi sama ada sebagai sumber pendapatan tetap atau sampingan.

ree

“Jika sesuatu perkara diminati dan dijadikan hobi, ia boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan yang berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.


Pengerusi Penganjur, Amilda Taising, menjelaskan bahawa kursus ini dikendalikan oleh empat tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang kraf tangan. Menurut beliau, tujuan utama program adalah memberi pendedahan asas kepada peserta mengenai teknik pembuatan rantai manik di samping menggalakkan pengembangan kreativiti dalam kalangan mereka.


“Peserta bukan sahaja memperoleh ilmu asas, malah berpeluang mengasah bakat dan menjadikan kemahiran ini sebagai sumber ekonomi di masa hadapan,” katanya.


Dalam pada itu, Amilda turut menyampaikan penghargaan kepada Ewon, atas sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan keusahawanan wanita di kawasan tersebut.


“Datuk Ewon amat memahami aspirasi wanita yang ingin meningkatkan pendapatan melalui bidang keusahawanan, dan beliau turut menyumbangkan dana untuk menjayakan pelaksanaan kursus ini,” tambahnya.


Kursus ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan peserta dalam seni kraf tradisi, malah berpotensi membuka ruang kepada mereka untuk menambah pendapatan serta memartabatkan hasil tangan tempatan agar terus relevan dalam arus ekonomi semasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page