top of page

RM437.93 juta untuk pembangunan modal insan tahun ini

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

16 April 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta untuk tujuan memperkasa dan membangunkan modal insan bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga aspek spiritual, tahun ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi untuk meningkatkan ekonomi Sabah.


“Ia merupakan platform terbaik untuk membawa ekonomi Sabah beralih kepada aktiviti-aktiviti bernilai tinggi dan berorientasikan pengetahuan serta kemahiran.

“Ini termasuk memberi keutamaan kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan

Vokasional (TVET) selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) serta inovasi dan teknologi digital,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.


Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerjaraya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.


Seramai 1,000 graduan dari Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan

menerima diploma masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut.


Hajiji mengucapkan syabas kepada barisan pendidik kolej vokasional, yang telah menjadi

pemacu utama dalam agenda pemerkasaan TVET negara.


“Komitmen dan kerja keras tenaga pengajar bukan saja besar dalam melonjakkan ketamadunan masyarakat untuk terus teguh mendepani cabaran global.


“Komitmen ini seiring dengan kepentingan TVET pada masa kini, di mana TVET bukan lagi pilihan kedua atau alternatif, tetapi TVET hari ini sudah berada dalam arus perdana pendidikan negara dan menjadi pilihan utama untuk anak-anak kita berjaya dan memiliki kemahiran sekali gus memenuhi kehendak industri,” katanya.


Ketua Menteri berkata peningkatan permohonan masuk ke kolej vokasional daripada 28,098 pada tahun 2022 kepada 58,263 pada tahun 2026, berbanding kapasiti pengambilan berjumlah 17,912 orang pelajar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap nilai pendidikan kemahiran.


Berdasarkan Laporan The Future of Jobs Report 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) jelas menunjukkan pasaran kerja global sedang mengalami transformasi besar, katanya.


“Menjelang 2030, dianggarkan 170 juta pekerjaan baharu akan tercipta, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, dan ekonomi hijau.


“Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) meletakkan tumpuan utama kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi.


“Ini bermakna, negara memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga tangkas digital dan peka terhadap kelestarian,” katanya.


Sesuai dengan keperluan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif melalui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.


Kerajaan Sabah, dalam hal ini, turut tidak terkecuali dengan pengutamaan terhadap

pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page