KUSKOP aktif lancarkan pelbagai inisiatif bantu usahawan Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP aktif lancarkan pelbagai inisiatif bantu usahawan Sabah

27 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus bergerak aktif melancarkan pelbagai inisiatif untuk mendekati dan membantu komuniti usahawan di Sabah.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara program yang dilaksanakan ialah Minggu Usahawan Negara dan Minggu PMKS bagi memacu kemampanan usahawan.


“Kami percaya pembangunan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan kerjasama semua pihak.


“Program Jom XCESS ini adalah salah satu contoh bagaimana KUSKOP dan agensi-agensi Kerajaan dapat bekerjasama dalam membantu memupuk kemajuan PMKS di Sabah khasnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom XCESS SME Bank Pusat Wilayah Sabah, di Pacific Sutera Harbour, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh, Pengerusi SME Bank Dato’Muslim Hussain, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Wira Aria Putera Ismail.


Ewon turut menyarankan agar usahawan-usahawan di negeri ini merebut peluang yang disediakan kerajaan termasuk memanfaatkan program Jom XCESS dalam memajukan perniagaan yang diusahakan.

 

“Saya yakin lebih ramai usahawan PMKS Sabah akan bangkit dan terus berjaya,” katanya.


Katanya lagi, komitmen kerajaan untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 jelas mendapat sokongan penuh daripada agensi-agensi di  bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP).

 

Beliau berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyelia perkembangan dan prestasi SME Bank, beliau berbangga dengan pencapaian agensi itu.


“SME Bank telah bergerak aktif dalam melancarkan pelbagai inisiatif, baik daripada segi kemudahan kewangan dan juga pembangunan usahawan.

 

“Kerjasama antara KUSKOP dan SME Bank mencerminkan dedikasi bersama kami di dalam memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). Program Jom XCESS pada hari ini bukan sahaja mewujudkan jalinan yang kondusif dalam menyediakan peluang kepada usahawan untuk berkembang, tetapi juga membantu mengukuhkan ekosistem ekonomi Sabah.

 

 Katanya lagi, berdasarkan data pihak perangkaan, Keluaran Dalam Negeri Kasar Sabah (KDNK) pada tahun 2022 mencapai RM81.9 bilion, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus. Pencapaian ini menunjukkan potensi besar bagi pertumbuhan yang pesat bagi ekonomi negeri Sabah.

 

“Komposisi KDNK Sabah menyatakan pertumbuhan dalam pelbagai sektor, dan hal ini menunjukkan pentingnya keusahawanan dalam memperkukuhkan ekonomi negeri Sabah.


“Keusahawanan tidak hanya membantu dalam mencipta peluang pekerjaan, tetapi juga dalam meningkatkan produktiviti dan kepelbagaian ekonomi.

 

“Selari dengan itu, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, sejumlah RM44 Bilion telah diperuntukkan untuk bagi manfaat usahawan PMKS untuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan. Ini adalah langkah positif Kerajaan dalam bagi memajukan ekonomi MADANI bagi sektor PMKS,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page