top of page

KUSKOP lantik 12 Ahli Parlimen kerajaan sebagai Friends of Ministry

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 29, 2025
  • 2 min read

28 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melantik 12 Ahli Parlimen Kerajaan sebagai Friends of Ministry (FoM) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi negara.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan watikah pelantikan kepada kesemua Ahli Parlimen itu dalam satu majlis luncheon meeting yang turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi KUSKOP dan ketua-ketua agensi di bawah kementerian, di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pelantikan itu adalah langkah proaktif bagi memperluas jaringan sokongan kementerian di peringkat akar umbi, menerusi kerjasama erat dengan wakil-wakil rakyat kerajaan.


“Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan ini yang memilih KUSKOP sebagai rakan strategik mereka di bawah inisiatif FoM oleh Kelab Penyokong Kerajaan.


“Saya amat yakin dengan perlantikan FoM ini akan dapat memacu kerjasama strategik dalam usaha membangunkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan gerakan koperasi di seluruh negara” katanya.


Ewon berharap usahawan dan koperasi akan menerima lebih banyak sokongan, galakan dan akses kepada pelbagai inisiatif kerajaan hasil kerjasama strategik ini.


Katanya lagi, KUSKOP mengalu-alukan pandangan, cadangan serta teguran membina daripada FoM dalam mempertingkat pelaksanaan dasar serta program kementerian di lapangan.


“Kementerian juga terbuka untuk bekerjasama dalam apa jua program dan inisiatif yang dirancang oleh FoM, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan dan koperasi di kawasan Parlimen masing-masing.


“Saya percaya sinergi ini akan memberi impak besar dalam menjayakan agenda keusahawanan negara, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.


Mengulas mengenai peranan kementerian, beliau menjelaskan bahawa KUSKOP bertanggungjawab dalam menetapkan hala tuju pembangunan keusahawanan negara, membudayakan nilai dan minda keusahawanan, memperkukuh ekosistem sokongan, meningkatkan akses kepada pembiayaan serta memudah cara kemasukan ke pasaran domestik dan antarabangsa.


“Kementerian turut memikul tanggungjawab terhadap pelaksanaan dasar-dasar utama seperti Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara (2024), Dasar Francais Negara 2030 serta pengurusan akta-akta berkaitan termasuk Akta Francais dan Akta Koperasi,” katanya.


Tambahnya lagi, proses libat urus berhubung draf Akta Koperasi baharu bagi menggantikan akta sedia ada sedang giat dijalankan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan-timbalab Ketua Setiausaha KUSKOP, Pengerusi BBC Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan ketua-ketua agensi KUSKOP.


Senarai Ahli Parlimen, FoM KUSKOP:


1. Datuk Seri Panglima Gapari bin Katingan@Geoffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau

2. YB Tuan Haji Azli bin Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam

3. YB Dato' Verdon bin Bahanda, Ahli Parlimen Kudat

4. YB Tuan Haji Onn bin Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat

5. YB Tuan Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka

6. YB Tuan Cha Kee Chiin, Ahli Parlimen Rasah

7. YB Tuan Hassan bin Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang

8. YB Tuan Tan Kar Hing, Ahli Parlimen Gopeng

9. YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Ahli Parlimen Tenggara

10. YB Tuan Edwin Anak Banta, Ahli Parlimen Selangau

11. YB Dr.Richard Rapu@Aman Anak Begri, Ahli Parlimen Betong

12. YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Ahli Parlimen Putatan

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page