top of page

Kerajaan bertindak proaktif hadapi krisis tenaga global – Anwar

  • nabalunews
  • 53 minutes ago
  • 1 min read

31 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan terus bertindak secara proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing susulan konflik di rantau Asia Barat.


Beliau berkata, langkah itu termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.


“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.


“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau hari ini.


Menurutnya, beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun mengakui cabaran dihadapi, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.


“Dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.


“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya.


Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan tempatan dalam menghadapi kesan krisis tenaga global.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page