KUSKOP masih tunggu laporan penutupan Malakat Mall
29 Julai 2024
KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) belum menerima laporan terperinci berhubung penutupan premis fizikal Malakat Mall Cyberjaya, berkuat kuasa 31 Julai ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, laporan itu diperlukan sebelum pihaknya meneliti apa bentuk tindakan dan bantuan yang boleh diambil.
"Setakat ini kita belum dapat laporan lagi, kena tunggu laporan. Di bawah kementerian, kita ada program Tabung Modal Pusingan, geran bantuan bagi membolehkan koperasi mengembangkan perniagaan termasuk sektor peruncitan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Ewon berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pasar mesra Muslim itu akan ditutup bagi membolehkannya meneroka model perniagaan baharu dengan operasi diteruskan dalam skala yang lebih kecil.
Menurut kenyataan pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim, sejak Malakat Mall dibuka pada 13 Mac 2020, ia sudah diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19 hanya selepas hari kelima ia beroperasi.
Malah dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini terutamanya selepas fasa endemik, terdapat banyak cabaran dihadapi.
Comments