KUSKOP perkukuh kerjasama strategik di BIBAN24 Riyadh, sasar potensi pelaburan RM100 juta
7 November 2024
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung 5 hingga 9 November 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang mengetuai delegasi ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 berkata, ini adalah cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Beliau telah mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, salah satu jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.
Perbincangan ini telah membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekaligus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.
Selain itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dengan Dr. Majid Abdullah Alkassabi, Menteri Perdagangan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
Antara yang dibincangkan ialah usaha mempertingatkan langkah-langkah konkrit seterusnya menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industriI.
Terdahulu, pada 5 November, Ewon telah merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang merupakan platform penting mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.
Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan PERNAS dengan Monsha’at. MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan PKS dan francais kedua-dua negara.
Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC) menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia dijangka menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia.
Program padanan perniagaan dan sesi rundingan juga membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.
Pada 6 November, Ewon telah mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Dewan Perniagaan Riyadh, yang mempertemukan para usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi.
Beliau berharap, sesi itu dapat mencetuskan kerjasama perniagaan baharu, membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.
Ewon juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, salah satu rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi.
Perbincangan ini dijangka merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.
Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa.
Comments