KUSKOP salur RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan dan koperasi, setakat Sept 2025 - Ewon
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

27 Oktober 2025
TAMPARULI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi tujuh agensi pembiayaannya telah menyalurkan sebanyak RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara setakat September tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata, tujuh agensi KUSKOP itu ialah SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), PERNAS, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Daripada RM7.96 bilion pembiayaan itu, sebanyak RM770.1 juta disalurkan kepada 40,797 usahawan dan koperasi di Sabah dan SME Bank sahaja telah meluluskan sebanyak RM314.3 juta kepada 52 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

“Saya berharap pembiayaan ini dapat terus ditingkatkan agar lebih ramai usahawan dan koperasi mendapat manfaat daripada agensi-agensi pembiayaan di bawah KUSKOP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank di sini, hari ini.
Ewon berkata, dalam belanjawan 2026 kerajaan melalui KUSKOP akan memfokus kepada penskalaan usahawan PMKS.

Oleh itu katanya, peranan agensi-agensi pembiayaan ini sangat penting untuk merealisasikan agenda tersebut.
Mengenai program itu, Ewon berkata, SME Bank telah peruntukan RM20,000 bagi membantu 100 pelajar dari kalangan keluarga B40 daripada lima sekolah di daerah Tuaran untuk mendapatkan cermin mata baharu.
Beliau turut menghargai inisiatif SME Bank yang tampil membantu masyarakat melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

“Saya hargai inisiatif SME Babk menyediakan dana untuk program CSR ini dan mudah-mudahan lebih banyak lagi sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan serta agensi-agensi kerajaan turun ke lapangan untuk membantu masyarakat kita yang memerlukan melalui program CSR masing-masing,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan;
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah), Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Jamdin Jeman; Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah dan Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh.


















Comments