top of page

KUSKOP sasar PMKS sumbang 45 peratus dalam KDNK menjelang 2025

  • Wartawan Nabalu News
  • Jun 17, 2023
  • 2 min read

17 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SUNGAI PETANI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mensasarkan sumbangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2025.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sektor PMKS dalam negara berpotensi untuk terus berkembang maju dengan adanya permintaan tinggi terhadap produk-produk keluaran usahawan PMKS.


Sehubungan itu beliau mahu usahawan di negara ini mengambil insiatif mengeluarkan produk yang lebih berkualiti dan meluaskan lagi pasaran sehingga menembusi pasaran luar negara.


Katanya, setakat ini jumlah Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang aktif mencecah 327,362 orang di seluruh negara menyumbang kepada kerancakkan ekonomi PMKS dan pertumbuhan ekonomi negara.


“Kementerian akan terus berusaha memastikan PMKS tempatan terus berkembang maju sekali gus menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran sumbangan PMKS terhadap KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2025.


“Oleh itu saya menyeru para usahawan PMKS supaya terus mempertingkatkan kemahiran yang sangat diutamakan pada masa kini.


“Antaranya penguasaan dalam pemasaran digital, pembangunan produk yang lebih berkualiti dan menepati standard antarabangsa serta pengurusan peniagaan yang lebih sistematik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fiesta Sahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah, di Dewan Kenangan MPSPK, Sungai Petani, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad, Pemangku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussian Al-Junid dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz.


Ewon yakin kerjasama baik antara semua agensi di bawah KUSKOP telah mewujudkan ekosistem yang lengkap untuk membina satu kitaran ekonomi yang lengkap bermula dari usahawan kecil hingga usahawan peringkat global dengan nilai perniagaan berbilion ringgit.


“Tekun, SME Bank, SME Corp, Bank Rakyat, Pernas, UDA Holdings, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu mengukuhkan kerjasama sedia ada untuk melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing di negara ini.


Beliau turut memuji usaha AIM kerana berjaya mengekalkan hubungan baik dengan Sahabat Usahawan AIM.


“Hubungan akrab ini dapat membolehkan kita menyampaikan dasar, hasrat, misi dan visi organisasi dengan baik.


“Tahniah kepada semua warga kerja AIM kerana telah membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kemsikinan dan membantu lebih 3.7 juta rakyat Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.


Majlis itu dihadiri lebih 2,000 Sahabat Usahawan AIM Cawangan Sungai Petani dan Yan.


AIM Wilayah Kedah mempunyai 12 cawangan iaitu Alor Setar, Baling, Kota Setar, Kuala Ketil, Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap, Pendang, Pokok Sena, Sik, Sungai Petani dan Yan dengan jumlah Sahabat Usahawan AIM Wilayah Kedah seramai 31,872 orang.


Jumlah sasaran pembiayaan dikeluarkan bagi tahun 2023 ialah RM295,866,620 dan jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan setakat April 2023 sebanyak RM269,255,000.


Antara bidang perniagaan yang diceburi oleh Sahabat Usahawan AIM di Kedah ialah, sektor pertanian, pembuatan, penternakan dan makanan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page