KUSKOP Suntik RM4.75 Juta Geran Inovasi kepada 8 Vendor Bumiputera PMKS
- nabalunews
- Sep 24
- 2 min read

24 Sept 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan RM4.75 juta Geran Inovasi dan Pengkomersialan (GIPV) kepada lapan vendor Bumiputera perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata geran berkenaan membiayai projek syarikat vendor Bumiputera dalam sektor minyak & gas, automotif, hartanah, pengangkutan dan farmaseutikal.
“Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–Sept 2025), kementerian telah menyalurkan sebanyak RM34.30 juta GIPV kepada 108 syarikat vendor Bumiputera. Tahun ini, daripada 17 permohonan yang diterima, lapan syarikat dipilih selepas melalui saringan dan penilaian ketat,” katanya.
Syarikat penerima GIPV ialah PHN Industry Sdn. Bhd., Ingress Precision Sdn. Bhd., Victorious Step Sdn. Bhd., Synar Setara Resources Sdn. Bhd., Vencast Sdn. Bhd., Good Science Sdn. Bhd., Meraque Services Sdn. Bhd. dan Hunai Jaya Resources Sdn. Bhd.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan GIPV Program Pembangunan Vendor 2025 di VIP Lounge, KUSKOP, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, geran ini menyokong projek adaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) termasuk Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, penggantian import serta proses reengineering dan redesigning.
“GIPV adalah insentif utama di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) untuk merangsang pertumbuhan vendor Bumiputera melalui inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan serta pengukuhan kapasiti teknologi.
“Inisiatif ini juga selari dengan hala tuju RMKe-13 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menekankan pembangunan PMKS berdaya saing dalam sektor high growth high value (HGHV),” jelasnya.

Ewon menegaskan, sokongan ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi pelaburan strategik untuk melahirkan vendor Bumiputera yang inovatif dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berharap penerima geran memanfaatkan peluang ini sepenuhnya untuk meningkatkan inovasi produk dan perkhidmatan, mengukuhkan kedudukan dalam ekosistem keusahawanan serta menjadi pemacu penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dan wakil agensi pelaksana Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).


















Comments