KUSKOP teruskan kursus pengurusan kewangan bantu usahawan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP teruskan kursus pengurusan kewangan bantu usahawan

14 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) akan meneruskan kursus bimbingan dan latihan keusahawanan termasuk pengurusan kewangan.


Beliau berkata, ini penting bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan para usahawan dalam pengurusan kewangan seterusnya membolehkan mereka membuat pembayaran pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan.


“Kementerian saya melalui INSKEN dari masa ke semasa sepanjang tahun ini melaksanakan bimbingan atau latihan keusahawanan kepada usawahan-usahawan kita, termasuk usahawan wanita.


“Antara lainya bimbingan urus tadbir kewangan dan saya dapati berasaskan kursus yang diadakan sebelum ini ianya banyak membantu mereka mengurus kewangan dengan baik dan membayar semula pinjaman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik), pada sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ahli Parlimen Sik itu bertanya mengenai kelewatan sebahagian peminjam TEKUN Nasional melunaskan pinjaman mereka.


Ewon berkata, memang tidak dapat dinafikan ada segelintir usahawan berhadapan masalah membayar semula pinjaman mereka.


Beliau berkata, dalam hal ini, kementeriannya akan memperbanyakkan sesi libat urus bersama usahawan-usahawan di seluruh negara bagi membantu mereka menangani isu-isu dan cabaran yang mereka hadapi.


“Kita terbuka menerima pandangan dan teguran daripada golongan usahawan. Apa yang penting, kita akan terus memperbanyakkan sesi libat urus di mana cabaranya (pembayaran semula pinjaman) sama ada daripada usahawan itu sendiri atau pihak kementerian.


“Kalau dipihak kementerian, maka tanggungjawab kita untuk ambil tindakan, sekiranya di sebelah pihak usahawan, kita juga ada perananya untuk membimbing mereka.


“Itu sebabnya kita minta ahli-ahli yang berhormat menyokong bajet yang akan dibentangkan ini supaya kita mempunyai bajet mencukupi untuk meneruskan bimbingan latihan kepada para usahawan kita,” katanya.

bottom of page