Labu jadi taruhan produk hiliran, SWEA dedah peluang ekonomi baharu di Tongod
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

25 Ogos 2025
TONGOD: Lebih 80 peserta lelaki dan wanita di daerah Tongod berpeluang mempelajari potensi produk hiliran berasaskan labu menerusi program Transformasi Komuniti Melalui Keusahawanan Inklusif dan Produk Hiliran Inovatif yang berlangsung di Dewan Sanan, baru-baru ini.
Program itu dianjurkan oleh Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) dengan kerjasama Insken Berhad serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Telupid/Tongod, dan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Insken Berhad, Mary Jim.
Menurut Pengerusi SWEA, Mohina Sidom, program berkenaan membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk melihat potensi tanaman alternatif yang mampu menjana pendapatan baharu.

“Program ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta mengenai potensi produk hiliran seperti labu yang boleh ditanam dengan banyak di daerah ini dan boleh diketengahkan sebagai tanaman alternatif jangka pendek untuk menjana pendapatan keluarga selain daripada pergantungan kepada tanaman kelapa sawit,” katanya.
Penceramah kursus, Mary Jim, turut berkongsi pengalaman dengan menunjukkan cara pemprosesan labu menggunakan mesin sehingga menghasilkan tepung labu.
Dalam pada itu, Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan menjelaskan SWEA sejak tahun 2023 telah menganjurkan beberapa siri kursus serta taklimat keusahawanan di Tongod.
“Langkah ini bertujuan untuk mendedahkan masyarakat kepada peluang ekonomi baharu dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi di daerah ini sekali gus menoktahkan kemiskinan,” ujarnya.
Comments