top of page

Lantikan Pengerusi BN Sabah amanah besar perkukuh perpaduan parti – Arthur

  • nabalunews
  • Jan 22
  • 1 min read

22 Januari 2026


KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyifatkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merupakan tanggungjawab besar bagi memastikan BN di negeri ini terus kekal bersatu, kukuh dan relevan dalam landskap politik semasa.


Arthur berkata, keutamaan kepimpinan beliau adalah untuk mengeratkan perpaduan dalaman parti selain memastikan koordinasi politik yang lebih tersusun dan stabil.


Menurutnya, ia penting bagi membina kekuatan bersama serta memperkukuh kepercayaan rakyat dan menyumbang kepada pembangunan serta kestabilan politik Sabah demi kesejahteraan rakyat.


“Dalam masa yang sama, BN Sabah akan terus memainkan peranan aktif dalam menyuarakan dan memperjuangkan hak Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selari dengan aspirasi pembangunan yang seimbang, inklusif dan berterusan.


“Saya percaya, melalui kerjasama erat antara kepimpinan, akar umbi serta rakan-rakan strategik, BN Sabah mampu menjadi wadah politik yang stabil, berprinsip dan berorientasikan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan Dewan Tertinggi BN di atas kepercayaan yang diberikan.


“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Amanah ini akan saya menggalas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.


Semalam, mesyuarat Dewan Tertinggi BN bersetuju melantik Arthur sebagai Pengerusi baharu BN bagi memperkukuh penyelarasan serta kesiapsiagaan gabungan berkenaan di Sabah.


Mesyuarat yang dipengerusi Ahmad Zahid itu turut melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page