top of page

Lawatan kerja ke China erat hubungan dua hala- TPM Zahid

  • nabalunews
  • Nov 5
  • 1 min read

ree

5 November 2025


SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan kerja empat hari beliau ke China sehingga Jumaat ini bertujuan mempererat hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.


Menurut beliau, lawatan itu memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam sektor halal, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), serta perdagangan, selaras dengan komitmen bersama kedua-dua negara ke arah “New Golden Era of Malaysia–China Cooperation.”


“Sepanjang lawatan ini, saya dijadual akan menghadiri pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8, merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 sebagai platform mempromosi industri halal Malaysia di pasaran global.


“Selain itu, saya akan melawat Pavilion Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) yang menjadi simbol kerjasama erat antara komuniti perniagaan Malaysia dan China,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.


Ahmad Zahid berkata, beliau juga dijadual untuk menyaksikan beberapa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi dan syarikat Malaysia dengan pemain industri di China.


Beliau turut berharap lawatan tersebut dapat mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kepercayaan, memacu inovasi dan membuka peluang baharu yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat di kedua-dua negara.


Lawatan Ahmad Zahid adalah atas undangan kerajaan China untuk menghadiri CIIE yang berlangsung di National Exhibition and Convention Center (NECC).


Malaysia-China menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974 dan negara itu merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.


Nilai dagangan antara Malaysia-China adalah RM484.12 bilion pada 2024 yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trillion).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page