top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lawatan sambil belajar pemegang adat Tamparuli ke Keningau dan Tenom


25 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Seramai 26 pemegang adat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli menyertai program lawatan sambil belajar ke daerah Keningau dan Tenom selama tiga hari bermula hari ini.


Program itu bertujuan untuk memperkembangkan kemahiran berfikir, memberi pendedahan tentang fakta menarik daerah lain, dan mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli rombongan.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, program itu dapat memberi pengalaman pembelajaran kepada para pemimpin adat terhadap setiap aspek yang terdapat di daerah yang dilawati.


"Saya yakin penganjuran lawatan sambil belajar ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran kepada para pemimpin adat terhadap setiap aspek yang terdapat di daerah yang dilawati nanti," katanya ketika berucap pada majlis singkat bersama rombongan di sini.


Tambah beliau, setiap pengetahuan yang diperolehi dari hasil lawatan itu biasanya akan bertahan dengan lebih kekal lama kerana mereka menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan maklumat.


"Saya percaya sesungguhnya pengalaman yang bakal dilalui semasa lawatan sambil belajar ini nanti tidak akan dapat dijual beli dengan wang ringgit nilainya," katanya.


Beliau juga menasihati para pemegang adat yang hadir agar menjaga akhlak dan keperibadian mereka ketika berada di daerah lain.


"Biarlah lawatan ini nanti menjadi satu perjalanan yang menarik dan bermanfaat. Jaga diri, jaga tata tertib dan jaga nama baik Tamparuli, semoga mendapat satu pengalaman, dan pelajaran yang baik untuk dimanfaatkan dan diaplikasikan di kawasan kampung masing-masing. Bersukan persahabatan pun biarlah main dalam keadaan ala kadar, jaga kesihatan apatah lagi dalam cuaca tidak menentu sekarang, dan jangan ada perselisihan faham di antara kalian semua," katanya.


Ketua rombongan, Ketua Anak Negeri (KAN) Selvis Gambar berkata, rombongan itu terdiri daripada KAN, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung.


"Terima kasih atas sumbangan Datuk Jahid yang telah menaja hampir keseluruhan perjalanan kami.


“Sepatutnya seramai 39 orang semuanya, tetapi disebabkan masing-masing mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan, maka rombongan kali ini hanya disertai 26 orang ahli," katanya.



Comentários


bottom of page