top of page

Lebih 1,600 Peserta Dari 30 Negara Sertai TMBT Ultra Trail Marathon Ke-14

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 29 Ogos – Seramai lebih daripada 1,650 peserta dari lebih 30 buah negara menyertai edisi ke-14 Borneo The Most Beautiful Thing (TMBT) Ultra Trail Marathon yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 30 Ogos 2026.


Acara tahunan yang diiktiraf sebagai ultra-trail marathon pertama dan terulung di Malaysia itu menawarkan enam kategori larian dengan jarak antara 7.5 kilometer hingga 109 kilometer.


Upacara pelepasan rasmi disempurnakan oleh Carlyle Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick. Pelepasan bagi kategori 100km dan 50km bermula pada jam 6:00 pagi tadi di Padang Sekolah Kebangsaan Lingkubang, manakala kategori 30km dan 12km pula bermula jam 8:00 pagi.

Para peserta akan melalui laluan mencabar merentasi lembah sungai, rabung curam, dan kampung-kampung pedalaman sebelum menamatkan larian di Pekan Nabalu dan Hotel Perkasa Kundasang mengikut kategori masing-masing, menurut Pengarah Urusan Borneo Ultra Trails Sdn Bhd, Aileen Yong.


Dengan kehadiran lebih 320 peserta antarabangsa serta ramai peserta dari luar Sabah, TMBT menjadi acara penting dalam kalendar pelancongan negeri yang mempromosikan Sabah sebagai destinasi utama pelancongan alam semula jadi dan sukan lasak di peringkat global.

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada hari ini jam 4:00 petang untuk kategori 50km dan 30km di Pekan Nabalu, manakala kategori 100km, 37km dan 7km akan berlangsung esok jam 10:00 pagi di Hotel Perkasa Kundasang.


Acara ini dianjurkan oleh Borneo Ultra Trails Sdn Bhd di bawah seliaan Pengarah, Dr. Claus Pedersen.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page