Lebih 12 peratus murid di Sabah gagal saringan penglihatan
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 2 min read

13 Mac 2026
KOTA KINABALU: Data Sektor Perkhidmatan Kesihatan Sekolah Negeri Sabah pada 2025 merekodkan 12.4 peratus murid gagal ujian saringan penglihatan, dengan hanya 40.5 peratus murid hadir ke temujanji pemeriksaan lanjut.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis berkata, keadaan tersebut menunjukkan keperluan untuk memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata serta rawatan awal.
Ia kerana, menurut beliau, sebahagian besar masalah penglihatan boleh dicegah atau dirawat lebih awal sekiranya pemeriksaan mata dilakukan secara berkala.

“Masalah seperti rabun, mata malas dan penyakit mata kronik sering kali tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal sehingga ia berada pada tahap yang lebih serius.
“Malangnya, masih ramai yang mengamalkan sikap menunggu sehingga keadaan menjadi teruk sebelum mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini perlu diubah kerana kehilangan penglihatan sebenarnya boleh dicegah melalui rawatan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Optometri Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada Jumaat.
Tambah William pendekatan proaktif, bersepadu dan berfokus kepada komuniti amat diperlukan bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti.
Menurutnya, di Sabah, faktor geografi, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta tahap literasi kesihatan turut memberi kesan kepada usaha pengesanan awal dan rawatan susulan bagi masalah penglihatan.
“Data kebangsaan menunjukkan rabun yang tidak dibetulkan dan katarak kekal sebagai antara penyumbang utama kepada masalah penglihatan.
“Selain itu, peningkatan kes rabun jauh atau myopia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga semakin membimbangkan,” ujarnya.
Beliau berkata isu kesihatan mata masih merupakan cabaran kesihatan awam di peringkat global dan nasional, dengan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 2.2 bilion penduduk dunia mengalami masalah penglihatan.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus kes boleh dicegah atau dirawat, dengan rabun yang tidak dibetulkan dan katarak antara penyumbang utama,” katanya.
Sementara itu, sambutan Hari Optometri Sedunia Peringkat Negeri Sabah menjadi platform untuk mengiktiraf peranan penting profesion optometri dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Pada majlis sama turut dilancarkan e-buku Tentang Mata, iaitu inisiatif pendidikan kesihatan dalam format digital yang dibangunkan oleh pegawai optometri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir, Pengarah Hospital Queen Elizabeth Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, Ketua Profesion Optometri KKM Nazirin Arsad, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi dan Jabatan Oftalmologi HQE Dr Sheena Mary Alexander dan Ketua Bidang Optometri Negeri Sabah Diana Mohamed.














