top of page

Lebih 3,000 orang hadir pelancaran Sabah First, Konvensyen Rakyat

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

14 November 2025


PENAMPANG: Lebih 3,000 orang menghadiri Pelancaran Sabah First dan Konvensyen Rakyat, di Dewan Gawir, Kg. Madsiang, di sini, semalam.


Majlis yang mendapat sambutan luar biasa daripada para penyokong dan masyarakat setempat itu disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.


Pada majlis sama, lagu rasmi Sabah First turut dilancarkan. Lagu tersebut merupakan ciptaan Billy Joe dan Rey Kimara, dan dinyanyikan sendiri oleh Rey Kimara di hadapan para hadirin.


Majlis tersebut menandakan momentum baharu dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan, hak-hak perlembagaan dan kebersamaan rakyat Sabah.


Dalam ucapan, Ewon merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah yang hadir menyokong program berkenaan.

ree

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah yang hadir. Ini adalah Konvensyen Rakyat, dari kampung, bermula dari kampung, sampai ke seluruh kampung.


“Ini pilihan raya Sabah. Ini referendum rakyat Sabah untuk memilih pembentukan Kerajaan Sabah oleh parti-parti tempatan. Ini referendum rakyat Sabah untuk perjuangan Sabah First,” katanya.


Ewon berkata, UPKO bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan Sabah bagi memastikan pentadbiran negeri dapat diurus dengan lebih baik, bijaksana dan berkesan.


“Tiada parti luar yang benar-benar memahami jiwa, impian dan keinginan rakyat Sabah untuk maju. Hanya parti tempatan Sabah yang memahami keperluan, masalah, visi dan aspirasi rakyat Sabah.


“Sabah First berasaskan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan yang mesti diputuskan oleh rakyat Sabah sendiri melalui parti tempatan Sabah dan Kerajaan Sabah tanpa campur tangan luar.

ree

“Kita serahkan kepada rakyat Sabah sebagai referendum terhadap hak 40 peratus dan hak-hak lain dalam Perlembagaan serta Perjanjian Malaysia,” katanya.


Ewon turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan 13 perkara di bawah MA63 namun menegaskan bahawa masih banyak lagi yang belum ditunaikan.


“Pilihan raya kali ini harus menjadi referendum untuk memilih kerajaan Sabah yang lebih berprinsip dan lebih berkesan dalam mendapatkan dan menjayakan hak-hak Sabah, terutama hak 40 peratus,” katanya.


Beliau berkata, jelajah Sabah First akan dilaksanakan di seluruh Sabah bersama calon-calon dan bahagian-bahagian UPKO serta melibatkan rakyat secara langsung.


Menurutnya, Perlembagaan UPKO turut memperuntukkan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi wawasan yang sama.

ree

“Kita membuka pintu kepada kerjasama, sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya. UPKO terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh menerima perjuangan Sabah First, khususnya dalam mendapatkan hak 40 peratus,” katanya.


Ewon menjelaskan bahawa setakat ini belum ada pertemuan rasmi dengan mana-mana parti tempatan lain.


“UPKO baru sahaja membuat ketetapan untuk keluar daripada Pakatan Harapan dan kini kami sedang mengurus persiapan menghadapi pilihan raya,” katanya.

ree

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page