top of page

Lebih 3,000 Peluang Kerja Industri Minyak Dan Gas Ditawarkan di Sabah

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

22 Ogos 2026


KOTA KINABALU : Lebih 3,000 peluang pekerjaan khusus dalam bidang minyak dan gas di Sabah ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 30 majikan itu membuka ruang lebih luas kepada rakyat Sabah khususnya golongan muda untuk menceburi industri minyak dan gas.


"Kehadiran 30 majikan yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan sempena karnival itu membuktikan komitmen semua pihak dalam membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada rakyat Sabah, terutama kepada pencari kerja di negeri ini.


"Perkembangan semua sektor ini memberi gambaran bahawa corak peluang pekerjaan di Sabah turut berubah mengikut perkembangan ekonomi dan keperluan industri, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja dengan kemahiran yang bersesuaian.


"TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar pilihan, sebaliknya perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.


"Pada tahun ini, sejumlah RM39.24 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program pembangunan modal insan yang menjadi tumpuan termasuklah TVET selain beberapa lagi program antaranya Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM), inovasi dan teknologi digital serta minyak dan gas," jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada program berkenaan yang berlangsung di sini, pada Sabtu.


Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah.


Jelasnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pasaran buruh Sabah menunjukkan perkembangan semakin baik dengan sekitar 1.90 juta tenaga buruh pada suku kedua 2026, manakala 1.23 juta penduduk bekerja dan sekitar 106,600 orang direkodkan sebagai penganggur.


"Usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga menunjukkan sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan telah berjaya direkodkan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.


"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka," jelasnya lagi.


Dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja industri, Hajiji berkata institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran perlu memperbanyakkan kursus serta program berkaitan industri minyak dan gas.


Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman; Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page