- Wartawan Nabalu News
Lebih 30 projek perumahan swasta sakit berjaya dipulihkan
11 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sebanyak 31 projek perumahan swasta sakit yang melibatkan 3,299 unit rumah berjaya dipulihkan dalam tempoh sebulan.
Ini adalah hasil daripada usaha Jawatankuasa Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang ditubuhkan pada 30 Dis 2022 untuk mencari penyelesaian kepada isu perumahan yang menjejaskan rakyat.
Timbalan Menteri KPKT Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada 31 projek perumahan tersebut, 28 projek telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala tiga lagi kembali lancar mengikut jadual pembinaan.
"Jawatankuasa ini sentiasa bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dengan kementerian termasuk agensi berkaitan bagi tujuan mempercepat proses penyiapan dan perolehan CCC," katanya.
Beliau berkata sejak penubuhan jawatankuasa itu, sebanyak 149 projek perumahan swasta sakit dipulihkan melibatkan 17,436 unit rumah dengan nilai RM15.2 bilion.
Tambah beliau, kategori projek lewat telah berkurangan daripada 141 projek kepada 124 projek setakat 31 Mei lepas.
Akmal Nasrullah berkata KPKT akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah projek perumahan swasta yang lewat siap, sakit dan terbengkalai demi kepentingan rakyat.
Comments