Lebih 300,000 tandatangan petisyen luluskan segera pengeluaran khas 2.0 KWSP
- Farah Salim
- Oct 6, 2022
- 1 min read

6 Oktober 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini khususnya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa agar kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP 2.0.
Menurut mereka ini penting demi kelangsungan kehidupan rakyat yang semakin tersepit ekoran kenaikan kos sara hidup.
Sehubungan itu satu petisyen pengeluaran khas 2.0 KWSP dimulakan beberapa bulan lalu oleh seorang pengguna Change.org bernama Juniza Binti Sulaiman Jue Sulaiman.
Setakat ini, lebih 300,000 rakyat Malaysia memberikan sokongan dalam tuntutan ini dengan menandatangani petisyen tersebut.
Kempen itu dilancarkan kerana menurut mereka, rakyat Malaysia sedang hidup dalam kesengsaraan dan kesusahan kerana kos perbelanjaan harian semakin meningkat tetapi gaji masih tidak berubah.
Antara komen pencarum KWSP yang menandatangani petisyen itu ialah: “Hidup sekarang memang rasa bagai kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang. Apalah nak jadi dengan nasib kami”.
“Saya baru sahaja lepas melahirkan. Anak-anak saya semuanya bersekolah dan saya masih belum dapat pekerjaan sejak Feb 2022. Keadaan saya parah yang amat. Saya benar-benar memerlukan kelulusan ini demi menampung kehidupan kami hari-hari sementara saya dapat kembali bekerja. Saya mohon dan rayu yang amat sangat.” - Zureena Z.
Sementara itu seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Nor A menyatakan: “Pendapatan gaji rakyat kecil tapi harga barang mahal… Tidak cukup dengan gaji yang ada sekarang...Tak sampai sebulan dah habis… Pembayaran KWSP pula bayar secara ansuran tidak perlu dibayar secara one-off.”
Rakyat negara ini berharap melalui pembentangan Bajet 2023 yang dijangka bersidang esok, kerajaan dapat mengambil perhatian serius perkara ini dan seterusnya mempertimbangkan tuntutan pengeluaran KWSP.















Comments