top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 4,000 liter petrol disyaki cuba diseleweng dirampas KPDN Semporna


10 Julai 2024


SEMPORNA: Lebih 4,000 liter minyak petrol disyaki cuba diseleweng berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Tampi-Tampi, di sini, semalam.


Serbuan dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, kira-kira jam 5 petang.


Ketua KPDN Cawangan Semporna, Jong Jee Leong berkata, serbuan itu dilakukan berdasarkan hasil risikan selama seminggu di lokasi berkenaan.


Katanya, hasil serbuan itu telah menyita sebanyak 4,025 liter petrol yang ditemukan dalam 161 unit tong berkapasiti 25 liter setiap satu yang disyaki cuba diselewengkan.


“Turut disita barangan yang terbabit dalam aktiviti haram berkenaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi, 2 bot laju tanpa pendaftaran, 2 unit enjin sangkut, 4 kereta sorong, 114 tong kosong dan 2 tong berisi petrol bercampur 2T.


“Tiada tangkapan dilakukan kerana semua suspek yang berada di lokasi kejadian bertindak terjun ke dalam paya sebelum melarikan diri ke kawasan bakau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM74,172.50 itu disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Jong berkata, berdasarkan makluman awam, jeti itu tidak berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan serta tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak petrol.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan iaitu minyak petrol di premis yang tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan untuk penyimpanan barang kawalan tersebut.


Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).


Manakala bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.


Sementara itu, Jong berkata pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan bagi mengelak berlakunya sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan di daerah ini.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000 atau Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.

Comments


bottom of page