- Wartawan Nabalu News
Lebih 5,000 penduduk Pulau Gaya rayu selesai masalah kemudahan asas

2 Disember 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Lebih 5, 000 penduduk di Pulau Gaya, di sini, merayu supaya kerajaan
membantu menyelesaikan pelbagai masalah kemudahan asas di kawasan itu.
Presiden Pertubuhan Prihatin Rakyat sabah (PPRS) Datuk Mohd Fadli Fathullah berkata, antara masalah yang disuarakan penduduk di pulau berkenaan adalah berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur yang sepatutnya dinikmati rakyat di kawasan berkenaan.
"Hari ini PPRS mengadakan siri lawatan kedua ke Pulau Gaya dan ia mendapat sambutan menggalakkan di mana seluruh jawatankuasa PPR telah mengambil aduan masalah rakyat di kawasan ini.

"Masalah yang dihadapi penduduk di sini ialah bekalan elektrik, bekalan air bersih, jambatan sekolah dan juga dewan masyarakat yang sudah lama diimpikan penduduk Kampung Pondoh, di sini," katanya kepada pemberita selepas siri lawatan di pulau berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil inisiatif ini untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan memandangkan isu itu sudah berlarutan hampir 30 tahun.
"Majoriti lebih 5, 000 penduduk tempatan di sini dan mereka perlu dibantu di mana masalah kemudahan infrastruktur ini sejak lebih 10 tahun dan berlarutan hingga 30 tahun lamanya.
"Jadi menerusi inisiatif pihak PPRS hari ini juga, kami telah meluluskan dana untuk membaik pulih jeti dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.
Selain itu, Mohd Fadli berkata pengurusan sampah di Pulau Gaya juga harus diberi perhatian oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terutama membabitkan kawasan pesisiran pantai pulau.
"Pihak DBKK juga diminta mengambil perhatian keadaan sampah yang berada di pesisiran pantai di Pulau Gaya ini," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Fadli berkata, PPRS akan terus menyuarakan semua masalah yang dihadapi penduduk di pulau berkenaan untuk diambil tindakan segera.
"Kami berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang bertanggungjawab di kawasan ini memandang serius mengenai masalah rakyat disini," katanya.
Sebelum itu, turut hadir pada lawatan itu ialah timbalannya, Sidnan Musi dan Suhaimi Buang serta Ahli Jawatankuasa (AJK) terlibat.