top of page

Lebih 500 usahawan raih manfaat program SAPPS

  • nabalunews
  • 2h
  • 1 min read

27 Mei 2025


KOTA KINABALU: Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) hari ini, melaksanakan siri kelima Seminar Usahawan Madani: Asas Pembangunan Produk & Servis (SAPPS) yang memberi manfaat kepada 559 usahawan seluruh negeri.


Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal serta membina kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai kepentingan pembangunan produk dan servis yang sistematik serta berkualiti.


Katanya, ia adalah strategi penting dalam memastikan kelestarian perniagaan, memenuhi harapan pelanggan serta mengatasi cabaran pasaran yang tidak menentu.

“Untuk berjaya, kita tidak boleh hanya fokus pada pengeluaran produk atau servis sahaja. Kita juga perlu faham apa yang pelanggan mahu dan perlukan.


“Usahawan juga perlu menguasai ilmu pengiraan kos dan penetapan harga yang betul dan bukan membuat anggaran secara rambang. Ini penting untuk pastikan perniagaan berkembang secara sihat,” katanya.


Mustaffa Kamil berkata demikian dalam ucapan semasa majlis perasmian Seminar Usahawan Madani, di Wisma Wanita, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat seminar keempat, sebanyak 25 peratus atau 1,499 peserta telah dilatih daripada sasaran 6,000 usahawan yang akan dilibatkan dalam 20 siri seminar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


Beliau turut menyeru usahawan untuk memanfaatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan, namun mengingatkan agar memastikan produk dan servis berada pada tahap yang kukuh sebelum memohon sebarang bantuan.


“INSKEN percaya pembangunan produk adalah strategi utama dalam menjamin kelestarian dan daya saing perniagaan.


“Justeru itu, kami terus komited mencari ruang dan peluang untuk membantu usahawan melalui ‘Modal Ilmu’ iaitu latihan, bimbingan dan ilmu yang praktikal untuk diaplikasikan terus ke dalam perniagaan,” katanya.


INSKEN ialah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page