- Wartawan Nabalu News
Lebih 9,000 guru baharu mula berkhidmat di seluruh negara, tahun hadapan
23 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, lebih 9,000 guru baharu bakal ditempatkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara pada sesi persekolahan Januari 2024.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, KPM telah mendapat kelulusan perjawatan guru baharu itu daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) .
Beliau berkata, langkah ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan guru yang menjadi antara punca beban tugas guru sedia ada bertambah.
"Kekurangan guru paling signifikan adalah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk Teknologi (RBT). KPM sentiasa berusaha memastikan jumlah guru ditambah dari semasa ke semasa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) sama ada masalah kekurangan guru, termasuk ramai guru bersara awal menyebabkan beban tugas bertambah kepada guru yang sedang dalam perkhidmatan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai kebajikan dan kemudahan infrastruktur bagi guru di kawasan pedalaman susulan kes guru besar di sebuah sekolah di Sabah terpaksa tinggal di stor sekolah, Hui Ying berkata KPM sedang mengambil tindakan susulan bagi isu itu.
"Tindakan susulan sedang dibuat untuk kenal pasti punca berlaku insiden itu (guru tinggal dalam stor sekolah) dan kita akan urusan setiap isu itu dengan sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, pada sesi sama, Hui Ying turut menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang memutuskan bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular adalah sah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan difailkan empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Comentarios