top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih RM400 juta diperuntuk laksana program usahawan tahun ini: Ewon

Ewon (dua dari kanan) menyampaikan bantuan Program BEEP 2022 Negeri Sarawak sebanyak RM80,740 kepada usahawan Creativenest Enterprise, turut kelihatan Faiz (kanan) dan Noor Syazrin (kiri sekali).

8 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diperuntukkan sejumlah RM463 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan di negara tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini, disalurkan dibawah agensi kementerian iaitu Tekun Nasional (RM330 juta), SME Corp (RM88 juta), UDA Holdings (RM30 juta), Institut Keusahawanan Negarai (insken) sebanyak RM10 juta dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) RM5 juta.


Beliau berkata, daripada jumlah itu RM330 juta di bawah Tekun Nasional untuk kemudahan pinjaman dan pembiayaan kredit mikro termasuk RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga susah.


“Manakala SME Corp pula diperuntukkan sebanyak RM88 juta untuk melaksanakan pelbagai program usahawan di bawah agensi itu.


“Bagi penyediaan ruang niaga untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan penjaja kecil sebanyak RM30 juta diperuntukkan di bawah Program Malaysia Entrepreneur Hub oleh UDA Holdings.


“Program latihan dan bimbingan keusahawanan oleh INSKEN pula sebanyak RM10 juta dan RM5 juta untuk Program Pembangunan Perniagaan melalui koperasi 2.0 di bawah SKM,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Tunas Usahawan Belia Bumiputera Kenyalang (TUBES), di pejabat SME Corps, di sini, kelmarin.


Turut hadir Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KUSKOP Datin Sr.Syahira Hamidon, Pengarah SME Corp Malaysia Cawangan Pejabat Negeri Sarawak Faiz Ramzi Sutarji, Presiden Persatuan Tunas Usahawan Belia Bumiputera Kenyalang Noor Syazrin Sajali, usahawan-usahawan dan wakil-wakil agensi KUSKOP.


Ewon turut menasihati bakal-bakal usahawan supaya tidak mudah berputus asa sebaliknya bijak merebuat peluang yang ada untuk terus memajukan lagi perniagaan mereka.


“Saya berharap semua usahawan Tubes terus maju dalam bidang perniagaan masing-masing. Hasrat kementerian adalah untuk melihat lebih ramai usahawan berjaya di negara ini.


“Saya amat bangga dengan usahawan-usahawan Tubes kerana ada diantara mereka yang memulakan perniagaan dengan modal serendah RM200 dengan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan di rumah, kini berjaya meraih pendapatan sehingga RM200,000 sebulan.


“Selain itu ada juga diantara peniaga yang berjaya memperolehi pendapatan jutaan ringgit setahun hasil bantuan agensi-agensi di bawah KUSKOP,” katanya.


Dalam perjumpaan itu usahawan TUBE turut menyuarakan pelbagai cadangan penambahbaikan dari segi permohonan pinjaman dan penyertaan program-program yang dilaksanakan agensi Kuskop.

Ewon berkata, beliau mengambil maklum semua cadangan dan pandangan para usahawan untuk tindakan penambahbaikan.


Setakat ini seramai 800 usahawan Tubes di Sarawak. Program di bawah SME Corp ini menyasarkan golongan belia bumiputera yang berumur antara 18 hingga 30 tahun yang mempunyai minat mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.


Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan dengan pengetahuan dan maklumat asas keusahawanan selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan sebenar.

Comments


bottom of page