top of page

Lebih RM770 Juta Disalur Kepada Usahawan, Koperasi Di Sabah

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read
ree

3 Nov 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,797 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah, menerima pembiayaan berjumlah RM770.1 juta pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan skim pembiayaan dan program keusahawanan khas untuk usahawan di Sabah, bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi di negeri itu.


Ewon berkata ini termasuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Usahawan Kraf di bawah TEKUN Nasional, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus oleh SME Corp dan Sesi Konsultasi Bizclinic Zon Borneo oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


“KUSKOP telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara pada peringkat kementerian, tanpa menjejaskan pelaksanaan program sedia ada di seluruh negara, fokus tambahan telah diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai langkah telah dibuat dan sedang dirancang kerajaan bagi membantu membangunkan lebih ramai usahawan serta koperasi di Sabah untuk mencapai kemajuan yang lebih tinggi.


Ewon berkata KUSKOP juga melaksanakan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa dengan menyediakan fasiliti perniagaan yang lebih teratur, menyediakan Hab PMKS Negeri Sabah serta menganjurkan program karnival dan ekspo keusahawanan dan koperasi di negeri itu.


Selain itu, beliau berkata agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Bank Rakyat, INSKEN dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menambah cawangan dan kemudahan perkhidmatan di Sabah bagi memudahkan urusan usahawan dan koperasi tempatan.


Sementara itu, Ewon berkata terdapat 3,072 koperasi daripada kumpulan sasar belia telah didaftarkan oleh SKM, setakat 31 Dis 2024.

Beliau berkata koperasi berkenaan mencatatkan 2.4 juta anggota dengan perolehan RM848 juta, serta  merekodkan RM264 juta dari segi modal syer.


Ewon menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai kejayaan Koperasi Belia dan Koperasi Pelancongan Komuniti dalam meningkatkan pendapatan belia. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page