Lebuh raya Pan Borneo di Sabah capai kemajuan memuaskan
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_45342ae76c6946d99b50196294b6bfa1~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_45342ae76c6946d99b50196294b6bfa1~mv2.jpg)
29 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
LABUAN: Projek lebuh raya Pan Borneo yang melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jalan raya di Sabah telah mencatat kemajuan yang memuaskan, menurut Chartered Institute of Logistic and Transport cawangan Sabah (CILT Sabah).
Pegawai Perhubungan CILT Sabah Daniel Doughty berkata bahagian Sabah dalam projek itu telah menunjukkan prestasi yang baik dengan bantuan seorang menteri yang berpengalaman dalam bidang kejuruteraan.
Beliau berkata projek itu juga telah bersedia untuk menerima keberangkatan konvoi Yang di-Pertuan Agong dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 3 Sept ini.
"Persiapan menerima keberangkatan konvoi Yang di-Pertuan Agong dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak (menggunakan lebuh raya) pada 3 Sept ini semakin meningkat," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Tambah beliau, pengangkutan darat negeri itu telah lama terlalu bergantung kepada rangkaian jalan raya sedia ada dan memerlukan pembiayaan yang besar daripada kerajaan Persekutuan untuk penyelenggaraan.
"Bagi menangani perkara ini, pembiayaan yang besar daripada kerajaan Persekutuan telah diperuntukkan untuk meningkatkan usaha penyelenggaraan, dan peruntukan itu kekal sebagai faktor penting dalam memastikan keberkesanan rangkaian jalan raya dan pergerakan lancar orang dan barangan," katanya.
Daniel juga menyatakan bahawa kemakmuran masa depan Sabah terletak pada pelaksanaan strategi pengangkutan pelbagai mod yang komprehensif, termasuk perluasan rangkaian rel Sabah.
"Perluasan rangkaian rel Sabah, khususnya perhubungan antara utara dan timur, memberi harapan yang besar. Integrasi dengan rangkaian yang dicadangkan seperti kereta api Trans-Borneo memerlukan perancangan yang teliti," katanya.
Beliau berkata rangkaian kereta api yang disambungkan dengan baik akan memberikan banyak faedah seperti mengurangkan kesesakan, mengukuh jalinan ekonomi antara bandar dan luar bandar, dan membuka ruang kemudahan pergerakan kargo di dalam negeri dan seluruh Borneo.
"Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan, pencapaian baru-baru ini adalah bukti kemajuan yang dicapai dan potensi yang menanti untuk infrastruktur pengangkutan Sabah," katanya.
Comments