Pesta Kaamatan Kampung Pinolobuh Dirai Meriah, Bukti Pembangunan Tidak Terpinggir
- nabalunews
- Jun 8
- 1 min read

7 Jun 2025
KOTA BELUD: Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Pinolobuh telah berlangsung semalam di Dewan Tamu Desa Kampung Pinolobuh, menandakan satu lagi detik bersejarah dalam kalendar komuniti setempat. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas usaha berterusan beliau dalam memastikan pembangunan menyeluruh dapat dinikmati oleh masyarakat Kampung Pinolobuh.
“Sejak tahun 2018, di bawah kepimpinan Ewon, kita menyaksikan pelbagai inisiatif pembangunan yang bukan sahaja merangkumi infrastruktur asas tetapi turut merangkumi sokongan terhadap aspek kebudayaan dan keagamaan yang menjadi teras kepada jati diri komuniti,” ujar Peter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinolobuh, Jalni Mison dalam ucapan aluannya turut menggariskan bahawa kampung tersebut tidak pernah diketepikan dalam agenda pembangunan sejak Ewon menjadi wakil rakyat Kadamaian.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif pembangunan yang telah dijalankan termasuklah penambahbaikan kemudahan asas, penyediaan bantuan kebajikan, pemerkasaan ekonomi serta penganjuran program budaya dan keagamaan secara berterusan. Kesemua ini memberi impak langsung kepada kesejahteraan dan perpaduan masyarakat setempat.
“Perayaan ini bukan sahaja memperingati musim menuai tetapi turut menjadi wadah untuk kita menghargai jasa kepimpinan yang prihatin terhadap keperluan akar umbi,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemaju Mukim Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Anichlose Kesimin serta para pemimpin komuniti yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini.
Pelbagai aktiviti kebudayaan seperti persembahan tarian tradisional, nyanyian etnik, serta sukan rakyat telah memeriahkan sambutan, mencerminkan kekayaan warisan budaya serta semangat muafakat dalam kalangan penduduk.
Sambutan Kaamatan tahun ini bukan sahaja menjadi medan pengukuhan identiti budaya tetapi turut mencerminkan kemajuan sosioekonomi kampung hasil kerjasama erat antara pimpinan dan masyarakat.


















Comments