top of page

Madius cadang pendekatan Federal Agricultural Governance dalam pengurusan pertanian negara

  • nabalunews
  • 42 minutes ago
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa Kerajaan Persekutuan mengubah pendekatan pengurusan pertanian negara daripada sistem pentadbiran berpusat kepada tadbir urus secara perkongsian atau Federal Agricultural Governance.


Ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, beliau berkata pendekatan itu membolehkan dasar strategik berkaitan pertanian dirangka secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak.


Menurutnya, pembentukan Malaysia berasaskan semangat perkongsian kuasa melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukannya pemusatan kuasa.


Madius turut membangkitkan kebimbangan terhadap peruntukan Seksyen 29 dalam RUU berkenaan yang memberikan kuasa luas kepada Menteri untuk menetapkan pelbagai peraturan berkaitan penggredan, pelabelan dan kawalan harga beras.


Beliau berkata kerajaan perlu memberi jaminan bahawa pelaksanaan kuasa tersebut tidak akan menjejaskan bidang kuasa Kerajaan Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


“Saya mencadangkan agar rundingan rasmi dan bermakna diwajibkan bersama wakil pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Sabah dan Sarawak, sebelum sesuatu peraturan dibuat di bawah seksyen tersebut.


“‘One size fits all’ tidak semestinya sesuai. Sabah mempunyai cabaran yang jauh berbeza daripada Semenanjung. Sebahagian besar bekalan beras kami bergantung kepada pengangkutan laut, kos logistik lebih tinggi, majoriti pesawah ialah pesawah kecil dan kami juga mempunyai kawasan penanaman padi bukit,” katanya.


Beliau berkata, walaupun menyokong usaha kerajaan membanteras kartel dan penyelewengan dalam industri padi dan beras, punca sebenar krisis bekalan perlu ditangani secara menyeluruh.


Katanya, kerajaan perlu menilai sama ada isu keterjaminan bekalan berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang semata-mata atau disebabkan produktiviti yang rendah, peningkatan kos pengeluaran, pendapatan pesawah yang tidak memadai serta kebergantungan negara terhadap import beras.


Dalam perbahasan itu, Madius mengemukakan empat cadangan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.


Cadangan tersebut ialah mewujudkan mekanisme konsultasi tetap bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak melalui pendekatan Federal Agricultural Governance sebelum sebarang peraturan diwujudkan di bawah akta berkenaan; mendapatkan persetujuan rasmi Kerajaan Sabah dan Sarawak bagi peraturan yang menyentuh bidang kuasa kedua-dua wilayah itu; membentangkan Laporan Keterjaminan Beras Negara setiap tahun di Parlimen yang merangkumi data pengeluaran, import dan tahap sara diri mengikut wilayah; serta menyediakan Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan Negara bagi meningkatkan pengeluaran padi dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page