top of page

Wanita ditahan, dadah bernilai RM1,800 dirampas di Penampang

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

Updated: 1 hour ago

Oleh Romie Stanley DGuns


KOTA KINABALU, 9 Julai – Seorang wanita tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam satu operasi di Penampang pada 7 Julai lalu.


Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan di hadapan tangga bersebelahan sebuah restoran di Beverly Hills, Penampang hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.


Pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik putih mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi serta satu paket plastik lutsinar berlabel “AK” yang mengandungi hablur jernih disyaki ketamin.


Keseluruhan rampasan membabitkan 33.6 gram serbuk disyaki ekstasi dan 2.2 gram disyaki ketamin dengan anggaran nilai RM1,800.


Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.


Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Katanya, selain dadah, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 15 bagi membantu siasatan.


“JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah tanpa sebarang kompromi demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara daripada ancaman dadah.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah ini secara menyeluruh,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page