top of page

RM600 juta daripada RM1.5 bilion sudah dibayar kepada Sabah - MOF

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Sebanyak RM600 juta daripada keseluruhan Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion telah pun disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 12 Jun 2026.


Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pembayaran itu dibuat sebagai sebahagian daripada amaun baharu Pemberian Khas kepada Sabah yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.


“Baki sebanyak RM900 juta akan disalurkan selepas Perintah Pemberian Khas baharu berkuat kuasa. Beberapa proses dan prosedur perlu diselesaikan terlebih dahulu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.


“Draf Perintah Yang di-Pertuan Agong perlu digubal dan diwartakan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.”


MOF menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Soalan Lisan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.


Dalam soalannya, Madius meminta Menteri MOF menyatakan bilakah pembayaran interim RM1.5 bilion akan dilaksanakan serta sama ada ia merupakan sebahagian daripada pembayaran 40% hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Jika ya katanya, bilakah bayaran selebihnya akan dilaksanakan, manakala sekiranya tidak berapakah dan bilakah pembayaran 40% hak Perlembagaan Rakyat Sabah dilaksanakan.


Menurut MOF, Kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) terus berunding bagi menambah baik Pemberian Khas kepada Sabah dengan mengambil kira formula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah serta mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112D.


MOF turut menjelaskan bahawa di bawah Kerajaan MADANI, Pemberian Khas kepada Sabah telah dinaikkan secara berperingkat daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 kepada RM300 juta pada tahun 2023, seterusnya hampir sekali ganda kepada RM600 juta pada tahun 2025 dan kini RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri pada 30 Mei lalu.


“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah masih meneruskan rundingan bagi merumuskan kaedah baharu menentukan amaun pemberian khas pada masa depan dengan mengambil kira keperluan kewangan Sabah berkaitan kos perkhidmatan negeri.


“Sebarang pelaksanaan formula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan secara teratur, berlandaskan undang-undang dan memenuhi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujar kementerian itu lagi.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page